Rabu, 10 April 2019 | 4:21pm

Siapa bakal pemangku MB Johor?

JOHOR BAHRU: Pelbagai tanda tanya melingkari persoalan siapa bakal dilantik menjadi pemangku Menteri Besar sehingga tempoh pelantikan mengisi jawatan nombor satu di Johor itu.

Pelbagai pihak yang dihubungi BH hari ini, hanya mengunci mulut dan tidak mahu memberi sebarang kenyataan.

Bagaimanapun, mengikut sumber, lazimnya apabila berlaku kekosongan jawatan Menteri Besar, struktur pentadbiran kerajaan Johor akan diambil alih oleh Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk Azmi Rohani.

Seorang pengamal perundangan yang enggan namanya disiarkan berkata, pemangku Menteri Besar perlu dibuat secara undian oleh Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan (EXCO) bagi mengisi sementara kekosongan jawatan sebelum lantikan dibuat secara rasmi.

“Pemangku Menteri Besar perlu dipilih EXCO menerusi proses pengundian, namun semua mesyuarat atau keputusan dasar perlu ditangguhkan dan tidak boleh dijalankan berikutan tiada Menteri Besar yang menerajui Johor ketika ini,” katanya ketika dihubungi BH, hari ini.

Semalam, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, mengesahkan Datuk Osman Sapian sudah meletak jawatannya, kelmarin.

Beberapa nama hangat diperkatakan bakal dicalonkan sebagai pengganti Osman, antaranya Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kepong daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Dr Sahruddin Jamal yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar dan Pertanian negeri.

Dua lagi nama ialah ADUN Semerah dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang juga Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Kebudayaan Johor, Muhammad Khuzzan Abu Bakar dan ADUN Puteri Wangsa (BERSATU) yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Infrastruktur dan Pengangkutan negeri, Mazlan Bujang.

Bagaimanapun, menurut sumber BH, beberapa nama lain turut disebut termasuk ADUN Tenang yang juga Pengarah Media BERSATU, Solihan Badri.

Mengikut Undang-Undang Tubuh Kerajaan Johor 1895, Bahagian Kedua Fasal Tiga (Lantikan Menteri Besar) Perkara Satu, Raja (Sultan Johor) hendaklah melantik dengan bersurat tauliah yang ditandatangani olehnya dan dicop dengan mohor kerajaan akan seorang menteri besar yang ada berkelayakan.

Fasal Tiga Perkara Kedua memperuntukkan dengan tertakluk kepada syarat bagi pecahan Fasal Empat, tiada seorang pun boleh dilantik menjadi Menteri Besar melainkan daripada bangsa Melayu dan beragama Islam.

Osman yang juga Pengerusi BERSATU dan Pakatan Harapan (PH) Johor mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Johor Ke-16, di hadapan Sultan Ibrahim di Istana Bukit Serene di sini, pada 12 Mei tahun lalu.

PH mendapat mandat membentuk kerajaan negeri selepas memenangi 36 daripada keseluruhan 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Johor, manakala Barisan Nasional (BN) mendapat 19 kerusi dan PAS (satu).

Berita Harian X