Rabu, 10 April 2019 | 8:25pm
MENTERI di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof. - NSTP/Faiz Anuar
MENTERI di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof. - NSTP/Faiz Anuar

Kerajaan suntik RM17.8 bilion pulihkan Tabung Haji

KUALA LUMPUR: Kerajaan akan membuat suntikan dana bersih sebanyak RM17.8 bilion kepada Tabung Haji (TH) dan membiayai agensi itu dalam tempoh 10 tahun dari 2020 hingga 2030 bagi memulihkan agensi itu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof, berkata ini bermakna kerajaan akan membuat peruntukan sebanyak RM500 juta pada tahun 2020 dan seterusnya sebanyak RM1.73 bilion setahun sehingga semua sukuk ditebus semula.

Pada sesi Penerangan Menteri berhubung isu TH di Dewan Rakyat, hari ini, Mujahid berkata, kerajaan komited memastikan institusi umat Islam itu terus terbela, justeru membuat pelan pemulihan TH menerusi syarikat tujuan khas (SPV) iaitu Urusharta Jamaah Sdn Bhd (UJSB) yang membeli aset TH yang hanya bernilai RM9.7 bilion dengan harga RM19.9 bilion.

Beliau berkata, tindakan pengurusan terdahulu TH yang tidak mempedulikan amaran Bank Negara Malaysia (BNM) bahawa agensi itu sudah mengalami kekurangan aset, tetapi terus memberi hibah tinggi menyebabkan agensi itu berdepan masalah kewangan yang teruk.

Katanya, kerugian dialami TH menjangkau RM10.2 bilion sukar ditanggung berbanding nilai aset pelaburan hartanah dan syarikat yang dibeli TH dengan kos RM19.9 bilion hanya bernilai RM9.7 bilion, setakat 31 Disember 2018.

“Penyelewengan demi penyelewengan dilakukan kerajaan Barisan Nasional (BN), antaranya memanipulasi dan memalsukan kedudukan akaun sebenar TH serta membayar hibah sebelum ini dengan kadar tinggi.

“Akaun TH dipalsukan dengan kelulusan Datuk Seri Jamil Khir Baharom (bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri) pada 2017 apabila beliau membenarkan TH memanipulasi nilai saham yang harus jatuh sebanyak tiga kali.

“Mengikut standard laporan kewangan, sesebuah syarikat harus mengisytiharkan kerugian jika nilai saham dibeli jatuh 20 peratus, tetapi apa yang TH lakukan dengan kebenaran Jamil Khir ialah menetapkan nilai saham harus jatuh 70 peratus dan kemudian diubah kepada 85 peratus dan selepas itu 90 peratus. Pemalsuan ini bukan saja mendapat kebenaran menteri tetapi Lembaga Pengarah TH juga meluluskannya,” katanya.

Mujahid berkata, TH pada zaman BN dengan terang dan nyata memalsukan akaun TH untuk menyembunyikan kerugian dialami demi menjadikan penyata kewangan agensi itu tampak menjana keuntungan, sekali gus memberi kemampuan memberi hibah dengan kadar 6.25 peratus pada Februari 2018 membabitkan pembayaran RM2.7 bilion.

Perkara itu, katanya, dengan jelas bertentangan dengan Akta Tabung Haji apabila kerajaan BN membuat pengumuman hibah walaupun keuntungan tidak mencukupi.

Sehubungan itu, beliau berkata, bagi memastikan tiada lagi manipulasi atau penipuan akaun, kerajaan meletakkan TH di bawah seliaan dan panduan piawaian BNM yang berperanan sebagai penguat kuasa peraturan ke atas TH bagi memastikan piawaian dipatuhi dan TH berfungsi secara profesional tanpa campur tangan politik.

“Penguatkuasaan BNM juga diperlukan supaya tiada kesalahan sama berulang pada masa depan. BNM adalah badan berkanun yang berwibawa dan bebas daripada campur tangan kerajaan,” katanya.

Mengulas lanjut, Mujahid berkata, pelan pemulihan TH kendalian pengurusan baharu mencatatkan kesan positif apabila akaunnya berupaya diimbangi, manakala aset kurang berpotensi diserahkan kepada UJSB dan ia diganti dengan sukuk bernilai tinggi.

“Berikutan proses ini jugalah, TH mampu memberi hibah 1.25 peratus membabitkan peruntukan RM913 juta,” katanya.

Mujahid berkata, setakat 31 Disember 2018, TH merekodkan aset keseluruhan berjumlah RM76.5 bilion, sekali gus mencatatkan lebihan aset RM1 bilion bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2018.

Ini menunjukkan kedudukan kewangannya kembali pulih jika dibandingkan dengan keadaan TH sebelum ini iaitu defisit aset RM4.1 bilion berdasarkan laporan kewangan diaudit bagi tahun 2017.

“Dengan kejayaan proses pemulihan TH dalam tempoh singkat iaitu selama enam bulan, Kerajaan Pakatan Harapan (PH) dan TH memberi jaminan, jika penstrukturan ini berjalan lancar dan mendapat sokongan penuh terutama daripada rakyat, bayaran hibah untuk tahun kewangan 2019 akan lebih baik dan institusi ini akan semakin maju berbanding sebelum ini,” katanya.

Mujahid berkata, TH kini dikendalikan golongan profesional dan bukan lagi ahli politik seperti sebelum ini bagi memulihkan institusi berkenaan.

Beliau berkata, pengurusan baharu turut mendapati penyelewengan lain dilakukan pengurusan lama turut membabitkan Program Yayasan Tabung Haji (YTH) 2017, apabila dana lebih RM22 juta dikeluarkan untuk aktiviti mempunyai kecenderungan politik yang bertentangan dengan Memorandum dan Artikel Persatuan YTH.

Selain itu, katanya, pengurusan lama juga menyembunyikan maklumat penting membabitkan penjualan saham TH pada 2012 sebanyak 95 peratus dalam PT TH Indo Plantation.

“Malah, pihak pengurusan sebelum ini juga membuat pelaburan menyebabkan kerugian kepada TH antaranya saham FGV yang rugi hingga RM1.1 bilion, cubaan TH menyelamatkan Ramunia Holdings sehingga kerugian RM670 juta dan membeli 30 peratus pemilikan syarikat Putra Perdana yang menyebabkan kerugian RM144 juta,” katanya.

Berita Harian X