Rabu, 10 April 2019 | 9:01pm
TIMBALAN Menteri Kewangan, Datuk Amiruddin Hamzah. - Foto Hafiz Sohaimi.

Levi Pelepasan mungkin diperluaskan sektor pengangkutan lain

KUALA LUMPUR: Levi pelepasan yang bakal dikenakan kepada individu yang meninggalkan Malaysia melalui penerbangan mungkin diperluaskan bagi penggunaan kenderaan lain pada masa depan.

Perkara itu diakui Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Amiruddin Hamzah, pada akhir ucapan penggulungan perbahasan Rang Undang-undang (RUU) Levi Pelepasan 2019 di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata, memandangkan RUU itu tidak menyatakan secara spesifik levi itu dikenakan hanya untuk penerbangan maka pada masa terdekat atau masa depan ia boleh dikenakan kepada cara pelepasan lain.

“Akan datang kalau kita merasakan pelepasan keluar melalui kapal persiaran perlu dikenakan levi pelepasan, maka dengan adanya pengecualian oleh Menteri, ia boleh dibuat tanpa perlu dibawa untuk pindaan di dewan ini,” katanya.

Beliau menjelaskan pada masa ini RUU itu tertakluk kepada levi pelepasan untuk penerbangan sahaja.

Mengulas mengenai unjuran kutipan hasil levi berkenaan, Amiruddin berkata, berdasarkan pembentangan Belanjawan 2019, kerajaan mencadangkan kadar levi yang dikenakan adalah RM25 jika menuju ke negara ASEAN dan RM40 jika ke negara lain.

Justeru, diunjurkan dengan pelaksanaan levi pelepasan ini akan membawa hasil sebanyak RM900 juta hingga RM1 bilion setahun.

“Hasil ini akan kita gunakan untuk pelbagai kegunaan rakyat,” katanya.

RUU Levi Pelepasan itu diluluskan selepas perbahasannya disambung semula selepas memberi laluan pembentangan Kertas Putih FELDA.

Berita Harian X