Rabu, 10 April 2019 | 9:56pm
MENTERI Kerja Raya, Baru Bian. - Foto Nurul Syazana Rose Razman.

Tindakan berkecuali ranapkan peluang keemasan

KUCHING: Kegagalan Ahli Parlimen daripada Gabungan Parti Sarawak (GPS) mengundi dalam Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) 2019 ‘meranapkan peluang keemasan’ untuk memulihkan semula status Sarawak dan Sabah, kata Pengerusi PKR Sarawak, Baru Bian.

Baru, yang juga Menteri Kerja Raya, menyuarakan kesedihan dan kekecewaannya apabila Ahli Parlimen daripada GPS dan pembangkang dari Sabah gagal melihat keperluan untuk menyokong percubaan ikhlas kerajaan Pakatan Harapan (PH) mengembalikan semula Sarawak dan Sabah berdasarkan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Beliau berkata peluang keemasan untuk memulihkan semula status kedua-dua negeri berkenaan hancur berkecai disebabkan wakil rakyat terbabit tidak mempunyai keberanian, walaupun untuk mengundi, terhadap cadangan meminda Perkara 1 (2) Perlembagaan Persekutuan pada persidangan Dewan Rakyat semalam.

Ahli Parlimen Selangau itu berkata nama wakil rakyat terbabit akan tercatat dalam sejarah kerana gagal memperbetulkan kesilapan yang dilakukan wakil rakyat dari Sarawak pada 1976, kecuali beberapa orang.

“Bagi saya, alasan oleh YB GPS bahawa pindaan ini tidak holistik dan sebagainya, tidak mempunyai merit kerana susun kata dalam pindaan yang dicadangkan itu serupa benar dengan versi asal pada 1963.

“Warga Sarawak, sekarang kamu nilaikanlah!,” katanya ketika mengulas mengenai sebab RUU itu gagal mendapat sokongan majoriti dua pertiga.

RUU itu, yang dibentangkan oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad untuk bacaan kali kedua dan dibahaskan selama hampir tujuh jam, hanya memperoleh 138 undi selepas Ahli Parlimen daripada blok pembangkang berkecuali daripada mengundi.

Sementara itu, anggota Jawatankuasa Eksekutif DAP Pusat, Dr John Brian Anthony berkata dengan menolak pindaan ini yang mempunyai susun kata yang sama dengan susun kata dalam MA63, GPS telah menolak MA63.

“Kita telah hilang peluang keemasan untuk memperbetulkan apa yang salah,” kata Dr John, yang juga Pengerusi Lembaga Pelabuhan Bintulu, kepada BERNAMA.

Bagaimanapun, beliau berkata kerajaan PH perlu terus bekerja keras ke arah mencapai apa yang adil dan wajar bagi Sabah serta Sarawak.

“Mudah-mudahan parti pembangkang seperti GPS dan Barisan Nasional (BN) akan memahami isu ini dengan lebih baik selepas ini dan menyokong usaha PH untuk memberi Sabah serta Sarawak hak mereka seperti yang diperuntukkan di bawah MA63,” katanya.

Sementara itu pengerusi Parti Amanah Negara (AMANAH) Sarawak, Mohamad Fidzuan Zaidi berkata pihaknya berasa amat kecewa dengan sikap Ahli Parlimen daripada GPS, BN dan PAS yang bersikap berkecuali dengan pindaan Perlembagaan Persekutuan itu.

Beliau berkata jawatankuasa teknikal telah lama dibentuk sejak zaman bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak lagi.

“Tidak hanya itu, pihak YB BN Sarawak (pada masa itu) turut menghantar rombongan ke London. Sepatutnya, langkah pertama adalah meminda status dahulu, baru perkara teknikal selebihnya akan dibincangkan kemudian,” katanya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Batang Lupar, Datuk Seri Rohani Abdul Karim, dalam satu kenyataan di sini, berkata beliau dan rakan-rakan Ahli Parlimen GPS yang lain berpendapat perkara itu perlu dihalusi dengan terperinci, bukan sekadar mengatakan Sabah dan Sarawak adalah ‘rakan sekutu’ dalam Malaysia.

Beliau berkata banyak perkara berkaitan MA63 perlu diberi perhatian satu persatu dan sokongan tidak boleh dibuat secara membuta tuli kerana takut akan mengakibatkan hakisan hak sebagai ‘rakan sekutu’ yang belum diperincikan lagi.

“Kami, GPS telah menyuarakan pandangan supaya pindaan ini dibawa ke peringkat Jawatankuasa Pemilihan Khas tetapi tidak diendahkan.

“Malah, kami pula dituduh mengkhianati kepentingan Sarawak dan ini jelas tidak benar,” menurut Rohani.

Sehubungan itu, beliau menegaskan khususnya kepada semua rakyat Sarawak bahawa Ahli Parlimen GPS tidak menolak pindaan itu, cuma tidak mengundi atau mengambil pendekatan berkecuali hingga menyebabkan dua pertiga majoriti tidak diperoleh.

Pengerusi PH Sarawak, Chong Chieng Jen pula berkata dengan menggagalkan Rang Undang-undang Perlembagaan (Pindaan) itu, GPS berjaya memalukan kerajaan PH, bagaimanapun akibatnya terpaksa ditanggung oleh Sarawak dan Sabah.

Dalam kenyataan di sini hari ini, beliau berkata pindaan rang undang-undang yang dicadangkan kerajaan PH di Dewan Rakyat semalam menyamai versi Perlembagaan 1963 bagi setiap perkataan - langkah paling terus untuk mengembalikan Sabah dan Sarawak kepada kedudukan asalnya dalam Persekutuan semasa Malaysia dibentuk pada 1963.

“GPS mungkin telah mencapai kepentingan politiknya, tetapi sekali lagi mereka telah berlaku tidak adil kepada warga Sarawak yang memilih mereka untuk menjadi Kerajaan Sarawak.

“Kerajaan PH mungkin menanggung malu berikutan kegagalan pindaan RUU ini, tetapi apa yang paling mengecewakan adalah Sarawak hilang peluang keemasan untuk membetulkan perkara salah yang dilakukan ke atas negeri ini 43 tahun yang lepas,” kata Chong, yang juga Pengerusi DAP Sarawak dan Ahli Parlimen Stampin. – BERNAMA

Berita Harian X