Khamis, 11 April 2019 | 1:37pm
Tan Sri Muhyiddin Yassin. - Arkib NSTP

BERSATU sudah ada dua, tiga calon MB Johor - Muhyiddin

SUBANG: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) sudah mempunyai dua, tiga nama calon Menteri Besar Johor yang akan dipersembahkan kepada Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar tidak lama lagi.

Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata seseorang yang dilantik adalah datang dari Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang mendapat kepercayaan terbanyak iaitu datangnya dari parti yang menguasai majoriti iaitu Pakatan Harapan (PH).

Beliau yang juga Menteri Dalam Negeri menegaskan sudah menjadi amalan apabila kekosongan sama ada selepas Pilihan Raya Umum (PRU) ataupun dikosongkan oleh penyandangnya maka perlu diisi dengan segera bagi melancarkan pentadbiran negeri.

“Kita sudah membuat ketetapan sebelum PRU bahawa Johor diberi kepada BERSATU. Kita sudah mempunyai dua, tiga nama dan akan dipersembahkan kepada Sultan Johor.

“Sekiranya nama yang dicadangkan diperkenan, maka individu terbabit akan dipilih dengan perlu melalui proses perlantikan seperti angkat sumpah dan ini adalah proses biasa yang dilakukan sejak dulu,” katanya, hari ini.

Ditanya mengenai pertikaian siapa yang berkuasa memilih Menteri Besar, Muhyiddin berkata, beliau percaya tidak harus ada pertikaian dan debat, mengenai isu terbabit kerana pasal Johor mempunyai Undang-Undang Tubuh Negeri.

“Saya menjadi Menteri Besar ke 13 iaitu pada tahun 1986. Saya rasa tidak harus debat kerana apa pun, ia terkandung dalam undang-undang sedia ada.

“Macam setiap negeri ada Undang-Undang Tubuh Negeri begitu juga Johor yang ada fasal menyatakan perlantikan Menteri Besar. Ini bukan baharu kerana ia sudah zaman berzaman dikuatkuasakan,” katanya.

Apabila ditanya mengenai desakan UMNO Johor yang mahukan Muhyiddin menjadi Menteri Besar semula, beliau berkata, pihak pembangkang tidak mempunyai dan kuasa untuk menamakan dirinya termasuk mencadangkan pembubaran DUN.

Beliau dalam keadaan berseloroh juga menyatakan dirinya sudah tua.

“Saya dah pernah jadi Menteri Besar maka saya tak fikir wajar saya kembali semula tetapi saya sedia membantu.

“Sebagai bekas Menteri Besar dan juga ADUN Bukit Gambir, saya akan membantu siapa sahaja yang dipilih oleh Sultan Johor untuk pastikan negeri terus maju,” katanya.

Muhyiddin juga melahirkan rasa pelik dengan UMNO Johor yang mencadangkan pembubaran DUN sedangkan mereka adalah pembangkang.

“Saya tidak faham maksud pembangkang Johor nak bubar.. Apa sebab? .. Ini hanya nak isi kekosongan Menteri Besar.

“Cadangan terbabit tidak tepat maka ia tak harus ikut. Jika nak buat keputusan. Ia perlu dibuat kerajaan manakala pentadbiran negeri pun tiada masalah,” katanya.

Berita Harian X