Jumaat, 12 April 2019 | 10:59am
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Datuk Liew Vui Keong. - NSTP/Eizairi Shamsudin

Usaha pinda Perlembagaan Persekutuan diteruskan

KUALA LUMPUR: Kerajaan meneruskan usaha meminda Perkara 1(2) Perlembagaan Persekutuan bagi memenuhi aspirasi rakyat untuk mengembalikan status Sabah dan Sarawak seperti termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Datuk Liew Vui Keong, berkata kerajaan akur dengan kegagalan mendapat majoriti dua pertiga pada persidangan Dewan Rakyat, Selasa lalu bagi melakukan pindaan itu, namun tidak melihatnya sebagai pengakhiran kepada usaha kerajaan Pakatan Harapan (PH) pimpinan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau bagaimanapun tidak menyatakan tempoh kerajaan akan membawa semula usul itu ke Parlimen kerana ia mengambil masa panjang berikutan perlu melalui pelbagai prosedur termasuk mendapat persetujuan Kabinet, penyediaan memorandum daripada menteri dan ulasan daripada pelbagai pihak termasuk Kerajaan Sabah dan Sarawak.

“Sebagai Ahli Parlimen dan menteri dari Sabah yang dekat dengan isu ini dan mengambil pelbagai inisiatif menjayakannya, saya tidak akan berhenti mengembalikan semula status Sabah dan Sarawak, namun saya tidak rasa ia dapat dilakukan dalam masa terdekat.

“Selain itu, kita mahu komitmen dan sokongan pelbagai pihak termasuk Ahli Parlimen untuk membuktikan kejujuran mereka dengan membuat pengumuman rasmi terlebih dulu bagi mengelak perkara sama berlaku seperti baru-baru ini,” katanya ketika ditemui BH di sini.

Rang Undang-undang (RUU) Perlembagaan Persekutuan (Pindaan) 2019 tidak dapat diluluskan di Dewan Rakyat malam Selasa lalu kerana kerajaan gagal memperoleh sokongan dua pertiga Ahli Parlimen untuk meminda Perkara 1(2) Perlembagaan Persekutuan

Menerusi undi belah bahagian, seramai 138 daripada 221 wakil rakyat menyokong pindaan berkenaan yang sebelum itu dibahaskan 46 Ahli Parlimen, manakala 59 Ahli Parlimen berkecuali.

Berikutan itu, RUU Perlembagaan (Pindaan) 2019 tidak boleh diteruskan untuk bacaan kali ketiga kerana tidak mendapat sokongan majoriti dua pertiga.

Usaha meminda Perkara 1(2) Perlembagaan Persekutuan dilakukan susulan pengumuman Dr Mahathir untuk mengembalikan status Sabah dan Sarawak seperti termaktub dalam MA63 pada sambutan Hari Malaysia di Kota Kinabalu, Sabah pada 16 September tahun lalu.

Vui Keong yang juga Ahli Parlimen Batu Sapi, berkata kegagalan melakukan pindaan itu yang antaranya disebabkan ketiadaan sokongan Ahli Parlimen daripada Gabungan Parti Sarawak (GPS) menyebabkan Sabah dan Sarawak mengalami kerugian berbilion ringgit bagi pembangunan.

“Ini kerana kita meneruskan dasar seperti sebelum ini dengan peruntukan dibahagikan kepada 13, sedangkan jika pindaan itu diluluskan, Sabah dan Sarawak bakal menikmati pembahagian lebih besar kerana ia hanya dibahagikan kepada tiga iaitu Semenanjung Malaysia, Sabah serta Sarawak.

“Ia satu kerugian dan kita mengambil masa 43 tahun untuk memindanya yang kali terakhir dipinda pada 1976, ia satu peluang keemasan dan dilakukan hanya selepas Kerajaan PH memerintah kurang satu tahun,” katanya.

Beliau berkata, di sebalik kegagalan itu ada perkara positif dapat dilihat iaitu rakyat Sabah dan Sarawak melihat keikhlasan kerajaan memenuhi aspirasi mereka yang akhirnya digagalkan segelintir pihak termasuk Ahli Parlimen daripada GPS.

“Kita dapat melihat satu cahaya cerah melangkaui Laut China Selatan, rakyat dapat melihat usaha kerajaan yang baru berusia kurang setahun ini untuk mengembalikan status Sabah dan Sarawak.

“Saya tidak faham bagaimana ada pihak mendakwa tidak memahami dan membuat permintaan sukar dibuat sedangkan sebelum ini semua kertas cadangan sudah diserahkan kepada semua pihak termasuk Kerajaan Sarawak yang memberikan maklum balas positif sehingga di saat akhir,” katanya.

Berita Harian X