Sabtu, 13 April 2019 | 2:58pm
Sultan Ibrahim hari ini berkenan menerima peletakan jawatan Datuk Osman Sapian sebagai Menteri Besar. - Ihsan FB Sultan Johor

Sultan Johor terima peletakan jawatan MB

JOHOR BAHRU: Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar, hari ini berkenan menerima peletakan jawatan Datuk Osman Sapian sebagai Menteri Besar.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Azmi Rohani, berkata Sultan Ibrahim memperkenan peletakan jawatan Osman di Istana Pasir Pelangi pada jam 10 pagi tadi.

“Sultan Johor juga sudah berkenan untuk melantik Menteri Besar baharu dan Istiadat Penyerahan Surat Tauliah serta Pengisytiharan Pelantikan Menteri Besar baharu.

“Istiadat akan diadakan esok di Balai Mengadap, Istana Bukit Serene di sini pada jam 9.30 pagi,” katanya dalam satu kenyataan di sini, sebentar tadi.

Pagi tadi, Sultan Ibrahim berkenan menerima mengadap Osman di Istana Pasir Pelangi di sini.


Pagi tadi, Sultan Ibrahim berkenan menerima mengadap Osman di Istana Pasir Pelangi. - Ihsan FB Sultan Johor


Kenyataan akhbar peletakan jawatan Osman sebagai Menteri Besar Johor. - Ihsan FB Sultan Johor

Pada pertemuan selama sejam bersama Sultan Johor, Osman terus menyembah maklum mengenai peletakan jawatan beliau sebagai Menteri Besar Johor.


DATUK Osman Sapian (kiri) ketika ditemui pada sidang media di Pejabat BERSATU Johor di Johor Bahru, hari ini. - Foto BERNAMA

Peletakan jawatan Osman berkuat kuasa Isnin lalu (8 April) diumumkan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, minggu lalu.

Osman, 67, Menteri Besar Johor ke-16, dipercayai menteri besar paling singkat tempoh perkhidmatannya, kurang daripada 11 bulan selepas mengangkat sumpah jawatan pada 12 Mei tahun lalu berikutan kemenangan Pakatan Harapan (PH) dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Berita Harian X