Sabtu, 13 April 2019 | 6:16pm
DR Wan Azizah (tengah) beramah mesra dengan penerima sumbangan Orang Kurang Upaya (OKU) ketika hadir Program Santuni Rakyat Peringkat Negeri Pahang. - Foto Bernama

Kuat kuasa reka bentuk sejagat untuk keselesaan OKU

KUANTAN: Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT) diminta menguatkuasakan reka bentuk sejagat atau ‘universal design’ dalam setiap keperluan merancang dan pelan bangunan bagi memudahkan golongan orang kurang upaya (OKU).

Timbalan Perdana Menteri berkata, kerajaan sentiasa memberi keutamaan kepada keperluan aksesibiliti seperti kemudahan dan ruang awam bagi memudahkan pergerakan OKU menjalankan urusan harian mereka.

“Melalui pelan atau reka bentuk sejagat ini, sudah pasti akan memberi faedah besar kepada golongan OKU, warga emas dan kanak-kanak.

“Jadi, saya menyeru semua kerajaan negeri dan PBT di seluruh negara memberi perhatian terhadap aspek pembinaan ini dalam memastikan setiap bangunan akan dibina lebih mesra OKU pada masa akan datang,” katanya berucap merasmikan Karnival Santuni Rakyat Peringkat Negeri Pahang, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Ahli Parlimen Kuantan yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Fuziah Salleh.

Dr Wan Azizah berkata, Kerajaan Persekutuan turut menyediakan peruntukan besar dalam bentuk bantuan kewangan secara bulanan kepada OKU sebagai bukti keprihatinan terhadap golongan itu.

Katanya, sehingga Januari lalu, sejumlah RM60.6 juta sudah diagihkan kepada 175,156 OKU melalui skim bantuan Elaun Pekerja Cacat (EPC); Bantuan Pesakit Terlantar (BPT) dan Bantuan OKU Tidak Bekerja (BTB) di seluruh negara.

“Di Pahang saja, Kerajaan Persekutuan memperuntukkan RM3.7 juta diagihkan kepada 11,002 OKU yang layak menerima skim bantuan sama.

“Selain itu, melalui Belanjawan 2019, kerajaan menyediakan RM129.8 juta kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi memperkasakan perkhidmatan dan program khusus untuk OKU.

“Peruntukan ini merangkumi perkhidmatan di tujuh institusi kebajikan termasuk Taman Sinar Harapan (TSH); Bengkel Daya Kalang (BDK) dan Pusat Latihan Perindustrian dan Pemulihan (PLPP) serta Taska OKU di seluruh negeri,” katanya.

Beliau turut memuji Setiausaha Kerajaan Pahang kerana menyediakan 0.51 peratus peluang pekerjaan di sektor awam kepada golongan OKU dan berharap sasaran satu peratus ditetapkan sebelum ini dapat dicapai.

Berita Harian X