Sabtu, 13 April 2019 | 9:23pm
PENIAGA Pasar Tani, Suhairi Hamzah menunjukkan cheese cake buatan sendiri di gerainya ketika berniaga di Pasar Tani Melawati. - Foto Hafiz Sohaimi.

Selagi ada kudrat tetap berkhidmat

KUALA LUMPUR: Selagi terdaya, selagi itu mereka akan bekerja. Tidak pernah wujud istilah mengalah atau lemah semangat.

Itu prinsip yang menjadi pegangan sekelompok pekerja normal yang kini bergelar orang kurang upaya (OKU), akibat ditimpa kemalangan serta penyakit, namun kini berjaya bangkit menjadi pekerja yang produktif.

Ketika ini terdapat hampir 47,986 pekerja yang ditimpa bencana kemalangan mendaftar dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) untuk menyertai program Return To Work (RTW) sejak 2007.

Seramai 22,753 daripadanya sudah kembali bekerja dan berdikari, sekali gus mampu meningkatkan pendapatan tanpa terlalu bergantung kepada pampasan atau terus patah semangat apabila bergelar OKU.

BH menemui tiga daripada mereka yang kini menjalani kehidupan baharu selepas bangkit daripada zaman gelap, bahkan pernah terlantar lama di katil akibat tidak mampu bergerak.

Suhairi Hamzah, 49, pernah mengalami strok akibat saluran darah tersumbat menyebabkan lumpuh separuh badan, dan terlantar hampir empat bulan di hospital pada 2016.

Kini, bapa kepada tujuh anak kini bergelar usahawan kecil membuat dan menjual sendiri pelbagai jenis kek serta biskut di Pasar Tani Taman Melawati, di sini.

Tangan dan kaki kirinya masih agak lemah, tetapi dia cukup bersemangat berniaga pada setiap pagi Sabtu, serta menjual produknya secara dalam talian.

“Ketika terlantar sakit, saya banyak menghabiskan masa menonton televisyen terutama rancangan memasak. Sejak dulu, saya suka memasak dan timbul minat untuk membuat kek.

“Jika saya menjual makanan lain, susah nak jual kerana perlukan tenaga yang banyak. Jadi, saya pilih menjual kek dan biskut.

“Syukurlah, setakat ini, saya mampu tanggung keluarga,” katanya yang pernah bekerja di sebuah syarikat animasi di ibu negara dan kini menguruskan perniagaan Adam Hawa Bakery, sejak 2017.

Ketika dilanda musibah akibat penyakit, Suhairi langsung tidak mampu menanggung keluarga, bahkan kediaman serta kereta miliknya terpaksa dijual untuk membayar hutang.

BEKAS Ketua Biro BH Melaka, Md Daud Awang.

Bagi V Vicneswaran, 48, yang lebih dikenali sebagai Vicky, kecacatan yang dialaminya langsung tidak pernah mematahkan semangat untuk terus berkhidmat dengan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

Cuma, Vicky yang menyertai APM sejak 2001 tidak lagi boleh bergerak cergas di unit operasi (Mencari dan Menyelamat), apabila kaki kanannya terpaksa dipotong akibat penyakit kencing manis pada 2015.

Kini, dia menggunakan sepenuhnya bakat yang ada dengan menyertai Briged Kesenian dan Kebudayaan APM, selaku pemain gitar dan penyanyi.

“Hati saya di sini (APM). Saya menyertai APM sejak 2001, semua pegawai dan anggota di sini seperti keluarga saya. Mereka banyak membantu memberikan dorongan. Saya akan sumbangkan apa saja yang saya ada untuk APM.

“Tipulah kalau katakan saya tidak pernah kecewa dan patah semangat. Tetapi saya kuatkan semangat, kerana saya tahu, ramai lagi yang lebih teruk berbanding saya. Sampai bila saya nak meratapi nasib sendiri,” katanya.

Kini, Vicky yang tinggal di Bandar Tun Razak bersama keluarga menggunakan kaki palsu dan mampu menunggang motosikal sendiri, termasuk berulang alik ke tempat kerja di Jalan Semarak.

WAHID (dua dari kiri) bertukar Memorandum Persefahaman (MoU) antara Prasarana Malaysia Berhad dan Universiti Tun Hussein Onn dengan Prasarana ​​di Kompleks Rapid Rail, Lembah Subang. - Foto Amirudin Sahib.

Irwan Fairuzi Johari, 35, mahir dalam bidang teknologi maklumat (IT) dan bekerja di Bank Rakyat sebelum ditimpa penyakit lumpuh separuh badan ketika sedang bekerja pada 2014.

Selepas disahkan menghidap sindrom Gullianbarre, keadaan Irwan semakin tenat sehinggalah dia cuma mampu menggerakkan kepala saja dan terlantar di Unit Rawatan Rapi (ICU), di sebuah hospital di Kajang.

“Penyakit saya ini agak pelik kerana nisbahnya ialah 1:100,000 kes. Saya bernasib baik kerana kuman tidak merebak ke bahagian otak. Bermula dengan rasa kebas di kaki, ia merebak ke seluruh badan dan doktor berjaya mengawal apabila sampai ke leher,” katanya.

Selepas terlantar dan menjalani pemulihan, Irwan bersyukur kerana mampu kembali bekerja di tempat sama, cuma tugasnya agak ringan kerana tidak mampu bergerak seperti biasa.

Ketika ini, dia sudah mampu berdikari di rumah, menggunakan tongkat, namun masih berkerusi roda jika keluar rumah kerana bimbang penyakit itu kembali menyerang secara tiba-tiba.

“Majikan sangat memahami keadaan saya. Ada masanya saya terpaksa bercuti untuk mendapatkan rawatan,” katanya yang turut mengharapkan dia mampu menggunakan kemahiran IT dimilikinya dengan bekerja dari rumahnya di Kajang.

Bapa kepada dua anak ini bergantung harap kepada isterinya, Amalina Mohsin, 34, untuk menguruskan cahaya mata mereka, Muhammad Umair Hafiy, 7, serta Uwais Amsyar, 5.

Bagi Ketua Pegawai Eksekutif (PERKESO), Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed, program RTW itu memberi tumpuan kepada konsep pengurusan hilang upaya bertujuan memberi penggantian gaji.

“Apabila kembali bekerja, mereka akan meraih pendapatan tetap dan dapat menghindari mereka daripada jatuh ke jurang kemiskinan. Wujud kaitan rapat antara kadar kemiskinan dengan golongan hilang upaya dan ia perlu ditangani.

“Walaupun sudah kembali bekerja, mereka masih mendapat faedah dan alatan pemulihan yang bersesuaian, mengikut keperluan tanpa mengira kos, selagi ia dianggap satu keperluan,” katanya.

Berita Harian X