Sabtu, 13 April 2019 | 9:34pm
KETUA Pegawai Eksekutif PERKESO, Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed. - Foto Ramdzan Masiam

22,753 orang hilang upaya kembali bekerja

KUALA LUMPUR: Seramai 22,753 pekerja yang hilang upaya berjaya mendapatkan kembali pekerjaan menerusi program Return To Work (RTW), Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), sejak 2007.

Sehingga Februari 2019, sebanyak 47,986 kes dirujuk di bawah program kembali bekerja itu, membabitkan pencarum yang belum mampu berdikari, hilang keyakinan diri, berdepan tekanan atau kemurungan selepas ditimpa kemalangan.

Ketua Pegawai Eksekutif PERKESO, Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed, berkata peserta program RTW itu akan melalui proses pemulihan yang sistematik sebelum disahkan layak untuk kembali bekerja.

Proses pemulihan itu berteraskan konsep biopsikososial, merangkumi faktor biofizikal, psikologi dan sosial yang perlu ditangani dalam membantu mereka kembali bekerja dengan sihat dan selamat.

Katanya, jumlah yang berjaya kembali bekerja itu dipecahkan kepada tujuh kelompok berdasarkan heirarki ditetapkan.

Kelompok pertama ialah mereka yang bekerja dengan majikan sama seramai 11,845 (52.06 peratus) dan yang kedua, mereka yang melakukan kerja yang hampir sama, dengan majikan sama membabitkan 3,274 orang (14.38 peratus).

“Seramai 1,495 (6.57 peratus) melakukan kerja yang berbeza dengan majikan sama, manakala 742 lagi (3.26 peratus) melakukan kerja yang sama, tetapi dengan majikan berbeza.

“Kelompok kelima ialah mereka yang melakukan kerja hampir sama dengan majikan berbeza (399 orang atau 1.75 peratus).

“Ada yang melakukan kerja berbeza dengan majikan berbeza (3,076 atau 13.52 peratus) dan 8.45 peratus (1,922) memilih untuk bekerja sendiri,” katanya.

Mengulas mengenai kejayaan program RTW, beliau lebih cenderung untuk melihat kepada impak positif diterima pencarum yang hilang upaya selepas mengikuti program ini.

“Selepas rawatan pemulihan, seorang ketua keluarga kembali menyara keluarga, anak kembali kepada ibu bapa, individu kembali kepada masyarakat, pekerja kembali kepada majikan dan kembali menjadi produktif,” katanya.

Katanya, PERKESO akan terus membantu mereka untuk mendapatkan pekerjaan dan terkini, menerusi Program Karnival Pekerjaan yang dijadualkan pada 15 sehingga 16 April ini di Nu Sentral, di sini.

“Program ini terbuka kepada semua termasuk peserta RTW dan orang awam. Kami menyasarkan 5,000 peluang pekerjaan yang akan disediakan oleh 45 majikan.

“Kita juga akan membantu mereka menyediakan ‘resume’, khidmat kaunseling kerjaya kepada yang hadir termasuk lepasan universiti, kolej serta golongan orang kurang upaya (OKU) yang sedang mencari pekerjaan,” katanya.

Mengulas kebimbangan segelintir peserta RTW bakal hilang bantuan apabila kembali bekerja, Mohammed Azman menegaskan, mereka masih mendapat faedah serta alatan pemulihan yang bersesuaian mengikut keperluan.

“Bantuan itu akan diberikan tanpa mengira kos, selagi ia dianggap satu keperluan. Mereka masih layak terima faedah hilang upaya sementara dan kekal, serta faedah pemulihan.

“Pencen ilat juga akan diteruskan jika pendapatan semasa mereka tidak mencapai tahap yang ditetapkan. Kita mahu memastikan mereka kembali hidup normal, tetapi tidak terlalu bergantung sepenuhnya kepada bantuan,” katanya.

Jelasnya, manfaat sama juga akan diterima kepada pencarum yang mempunyai insuras peribadi, bahkan mereka mempunyai kelebihan untuk memilih faedah terbaik perlindungan insurans yang ditawarkan.

“Kebiasaannya, mereka boleh mendapatkan rawatan di hospital swasta menggunakan insurans peribadi dan menggunakan faedah yang ditawarkan PERKESO untuk keperluan lain,” katanya.

Berita Harian X