Ahad, 14 April 2019 | 10:00am
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar dan Pertanian Johor, Dr Sahruddin Jamal, dilihat memasuki perkarangan Istana Bukit Serene jam 8.50 pagi. - Foto NSTP

Dr Sahruddin memasuki pekarangan Istana Bukit Serene

JOHOR BAHRU: Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar dan Pertanian Johor, Dr Sahruddin Jamal memasuki pekarangan Istana Bukit Serene, di sini jam 8.50 pagi.

Dr Sahruddin, 44, menaiki kenderaan rasmi dan dipercayai bakal dilantik Menteri Besar Johor yang baharu.

Teka-teki mengenai siapa yang bakal menerajui kepemimpinan kerajaan negeri Johor selepas berita peletakan jawatan Datuk Osman Sapian dilaporkan Selasa lalu, bakal terjawab hari ini.

Istiadat penyerahan surat tauliah dan pengisytiharan pelantikan Menteri Besar Johor ke-17 akan berlangsung di Istana Serene yang dijadualkan jam 9.30 pagi ini, selepas Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar berkenan melantik menteri besar baharu setelah menerima surat peletakan jawatan Osman semalam.

Desas-desus mengenai Johor bakal menerima menteri besar baharu bertiup kencang pada hujung minggu menjelang Pemukiman Pemimpin Malaysia-Singapura yang berlangsung pada Isnin dan Selasa lalu, namun dinafikan oleh pembantu Osman.

Bagaimanapun pada 9 April, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH), mengesahkan menerima surat peletakan jawatan Osman, sekali gus menimbulkan persoalan mengenai hala tuju kerajaan negeri pimpinan PH itu selepas ini.

Yang nyata, kepemimpinan PH di negeri ini dijangka masih diteruskan oleh Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), sekali gus menunjukkan kesepakatan kepemimpinan PH seperti yang telah dipersetujui ketika Pilihan Raya Umum ke-14.

Menurut Osman pada satu sidang media semalam, Sultan Johor menetapkan beberapa syarat terhadap menteri besar baharu.

Syarat-syarat itu dijangka perubahan besar dalam pembentukan anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) sebagaimana yang dititahkan oleh Sultan Ibrahim.

Berita Harian X