Ahad, 14 April 2019 | 12:33pm
GAMBAR fail, Sultan Johor Sultan Ibrahim Iskandar . - Foto Zain Ahmed

Pihak luar jangan campuri urusan mentadbir Johor - Sultan

JOHOR BAHRU: Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar bertitah negeri Johor tidak memerlukan orang lain mencampuri urusan pentadbiran negeri berkenaan.

Baginda bertitah negeri Johor mempunyai adat dan cara pemerintahan yang tersendiri sejak ia wujud.

"Kedaulatan Johor, kesucian agama Islam dan keistimewaan orang Melayu hendaklah sentiasa dipelihara daripada diganggu-gugat oleh pihak luar yang berselindung disebalik perjuangan hak asasi manusia," titah Sultan Ibrahim dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Kenyataan itu dibuat baginda mengiringi pengesahan pelantikan dan angkat sumpah jawatan Dr Sahruddin Jamal sebagai Menteri Besar baharu Johor, pagi tadi.

Sahruddin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kepong dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), dilantik menggantikan Datuk Osman Sapian yang melatak jawatan pada 8 April lalu.

Titah Sultan Ibrahim, pihak terbabit tidak perlu membuang masa dengan bercakap mengenai perkara yang tidak berfaedah dengan menabur fitnah dan mereka-reka cerita hanya untuk menarik perhatian atau mengelirukan rakyat.

Sebaliknya, titah baginda, mereka seharusnya menumpukan perhatian untuk membantu kehidupan “rakyat yang susah” dan meningkatkan kemajuan ekonomi negara.

"Saya mahu Menteri Besar baharu (Dr Sahruddin) memberi keutamaan kepada isu pencemaran sungai di negeri itu bagi memastikan sumber air mentah sentiasa bersih dan mampu bertahan untuk jangka masa panjang.

"

Saya harap beliau akan dapat memikul tanggungjawab dengan jujur, ikhlas dan amanah, serta mengutamakan kepentingan negeri berbanding kepentingan diri atau politik, demi kesejahteraan hidup rakyat dan kemakmuran ekonomi Johor," titah baginda.

Sultan Ibrahim turut mengucapkan tahniah kepada Dr Sahruddin yang sudah dilantik sebagai Menteri Besar Johor yang baharu.

Berita Harian X