Ahad, 14 April 2019 | 2:42pm
MENTERI Besar, Dr Sahruddin Jamal bersalaman dengan Datuk Osman Sapian ketika menghadiri sidang media di Pejabat Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Johor. - NSTP/Zain Ahmed

Saya bersedia bantu MB Johor - Osman Sapian

JOHOR BAHRU: Bekas Menteri Besar Johor, Datuk Osman Sapian menyatakan kesanggupannya untuk memberi bantuan dan sokongan kepada penggantinya, Dr Sahruddin Jamal.

Osman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kempas berkata, Dr Sahruddin juga boleh menghubunginya pada bila-bila masa jika memerlukan khidmatnya.

“Saya berikrar akan terus memberikan sokongan kepada Menteri Besar dalam membangunkan Johor.

“Selaku ADUN Kempas saya juga akan terus berkhidmat dan menyokong agenda disusun Dr Sahruddin.

“Kewibawaan Dr Sahruddin dalam menjalankan tugas yang diamanahkan ke atasnya tidak boleh disangkal dan kerana itu jugalah saya melantiknya sebagai Setiausaha Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) awal tahun ini, ” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas sidang media bersama Menteri Besar di Pejabat BERSATU Johor, di Kempas, dekat sini, hari ini.

Osman yang kelihatan ceria sempat melayani permintaan media untuk bergambar dan sempat berseloroh supaya pengamal media tidak melupakannya selepas ini.

Sementara itu, Osman ketika ditanya sampai bila akan terus memegang jawatan Pengerusi BERSATU JOHOR dan Pakatan Harapan Johor secara berseloroh berkata: “Sampai dapat surat kata saya bukan lagi pegang jawatan berkenaan.”

Berita Harian X