Ahad, 14 April 2019 | 3:30pm
MENTERI Besar Johor, Dr Sahruddin Jamal mencium tangan ibunya, Isniah Kasmongin selepas selesai mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar di kediaman keluarganya di Kampung Batu 28, Lenga. - NSTP/Adi Safri

MB Johor kembali ke kampung halaman

MUAR: Menteri Besar Johor, Dr Sahruddin Jamal kembali ke kampung halamannya di Kampung Baru Batu 28 Lenga, Pagoh di sini, sebaik selesai istiadat pelantikan Menteri Besar Johor di Istana Bukit Serene, kira-kira jam 2 petang tadi.

Ketibaan Dr Sahruddin disambut oleh ibunya, Isniah Kasmongin, 73, ahli keluarga, kenalan dan penduduk kampung yang menantikan ketibaan anak jati kampung terbabit.

Dr Sahruddin kemudiannya masuk ke rumah dan bersalaman serta mencium ibunya bagi mendapatkan restu atas perlantikannya sebagai Menteri Besar yang baharu.

Beliau kemudiannya menyertai tahlil dan doa selamat yang diadakan di kediaman ibunya yang turut dihadiri oleh penduduk kampung.

Terdahulu, Dr Sahruddin sempat singgah di sekolah lamanya iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Alauddin Riayat Shah 1 dan meluangkan masa selama kira-kira 10 minit beramah mesra bersama warga sekolah itu.

Beliau kemudiannya menunaikan solat Zohor di Masjid Jamek Kampung Baharu Batu 28 Lenga dan beramah bersama jemaah masjid dan kemudiannya terus menuju ke kediaman ibunya yang terletak berhampiran.

Berita Harian X