Ahad, 14 April 2019 | 6:08pm
DATUK A Kadir Jasin (kiri) dan Dr Sahruddin Jamal. - Foto NSTP

MB Baharu Johor perlu ikut piawaian rakyat

KUALA LUMPUR: Tokoh wartawan, Datuk A Kadir Jasin, menasihati Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kepong, Dr Sahruddin Jamal, mengambil iktibar terhadap apa yang berlaku kepada bekas Menteri Besar, Osman Sapian, sebelum ini.

Kadir yang juga Penasihat Media dan Komunikasi Perdana Menteri, berkata beliau cadangkan Dr Sahruddin yang dilantik sebagai Menteri Besar Johor yang baharu hari ini, 'berguru' dengan Osman, mengapa tempoh perkhidmatannya begitu singkat.

"Beliau (Dr Sahruddin) tidak perlu diingatkan bahawa mengambil alih daripada seorang menteri besar yang paling singkat tempoh perkhidmatannya.

"Beliau juga tidak perlu diingatkan tentang apakah aspirasi rakyat jelata yang memilih Pakatan Harapan (PH) menjadi kerajaan di negeri kelahiran UMNO pada 9 Mei lalu.

"Cuma saya ingin segarkan ingatan beliau kepada hakikat bahawa majoriti rakyat Johor menolak UMNO/Barisan Nasional walaupun Istana Johor secara terbuka memihak dalam pilihan raya umum itu," katanya dalam tulisan di blognya.

Dr Sahruddin, 44, mengangkat sumpah jawatan itu di Istana Bukit Serene di sini, hari ini.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar dan Pertanian negeri sebelum ini, mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Johor yang ke-17 di hadapan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar.

Berhubung dengan Dr Sahruddin yang dikatakan pendiam dan kurang bercakap dalam mesyuarat EXCO, Kadir berkata beliau tidaklah boleh diam lagi atau mengikut apa orang lain kata.

"Beliau mesti berani dan tegas. Saya harap anggota EXCO, ADUN dan pemimpin parti beri sokongan dan tunjuk ajar kepada beliau dan serentak itu memantau prestasinya.

"Kita akan ukur dan beri penarafan mengikut piawaian rakyat kerana beliau dipilih dan di beri amanah oleh rakyat," katanya.

Berita Harian X