Isnin, 15 April 2019 | 7:51pm
TIMBALAN Ketua Pegawai Eksekutif (Teknikal), Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp), Dr Mohd Pauze Mohamad Taha. - NSTP/Salhani Ibrahim

Situasi jangka hayat tapak pelupusan sisa pepejal kritikal

KUALA LUMPUR: Jangka hayat beberapa tapak pelupusan sisa pepejal di beberapa negeri termasuk Melaka dan Johor berdepan situasi kritikal disebabkan peningkatan sisa makanan yang mencecah 16,650 tan sehari.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Teknikal), Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp), Dr Mohd Pauze Mohamad Taha, berkata sampah yang dihasilkan melebihi daripada jangkaan dan dibimbangi tidak mampu lagi menampung keperluan semasa.

“Di Tapak Pelupusan Sampah Sungai Udang, mengikut jangkaan asal ia boleh bertahan hingga lima tahun, nampaknya tidak sampai tiga tahun sudah makin sesak dan tenat.

“Kami terpaksa pasak dan naikkan sampah setinggi yang boleh bagi memaksimumkan ruang yang ada,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan kertas kerja bertajuk Projek Pengurangan Sisa Makanan Bersama Komuniti: Pengalaman SWCorp pada Persidangan Meja Bulat Pengurangan Sisa Makanan: Ke Arah Kesepaduan Usaha Bersama di Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), di sini, semalam.

Beliau berkata, pembangunan, terutama di kawasan bandar yang semakin pesat menyukarkan lagi proses mendapatkan tanah yang sesuai dijadikan kawasan pelupusan sampah kerana masyarakat tidak mahu ia terletak berhampiran rumah.

“Kami terpaksa cari tempat yang jauh dari bandar antaranya di kawasan tadahan air minuman dan hutan yang dilindungi. Justeru, apa yang perlu dilakukan adalah mengurangkan janaan sampah, amalkan kitar semula dan menggunakan teknologi bagi merawat sisa ini,” katanya.

Malah, jangka hayat tapak pelupusan sisa pepejal di Bukit Tagar yang dijangkakan boleh bertahan sehingga 50 tahun lagi turut berdepan risiko sekiranya langkah pengurangan sisa tidak dilakukan dalam kadar segera.

Sementara itu, Felo Pusat Kajian Sains dan Alam Sektiar (KIAS), IKIM, Azrina Sobian, berkata kelompok keluarga atau isi rumah menjadi penyumbang terbesar iaitu 38 peratus daripada lambakan sisa makanan yang ada.

Justeru, antara langkah yang dilihat berpotensi untuk menimbulkan kesedaran dalam kalangan masyarakat adalah menggunakan pendekatan pendidikan melalui ajaran agama.

“Makanan yang disediakan di rumah menjadi penyumbang terbesar kepada penghasilan sisa makanan berbanding di restoran, hotel atau bazar Ramadan.

“Kita sedar antara puncanya berhubung kait dengan sikap membazir, justeru pengintegrasian nilai Islam perlu diterapkan dalam insiatif ke arah pengurusan sisa makanan berkesan yang disebabkan oleh sikap yang tidak bertanggungjawab dan budaya ditonjolkan masyarakat hari ini,” katanya.

Antara inisiatif yang sedang digerakkan adalah Projek Pengurusan Sisa Makanan Melalui Program Intervensi Berasaskan Agama yang diketuai Universiti Tsukuba, Jepun bersama SWCorp, Malaysia-Japan International Institute of Technology (MJIIT), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Malaysian Green Technology Corporation (MGTC).

Program komuniti yang bermula pada Januari lalu ini mensasarkan kepada keluarga Islam sekitar Kuala Lumpur, Putrajaya dan Negeri Sembilan dengan matlamat utama mengurangkan sisa makanan yang dijana di kawasan sasaran melalui idea barakah atau keberkatan mengikut prinsip Islam.

Berita Harian X