Isnin, 15 April 2019 | 7:55pm
MENTERI Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub (dua dari kanan) melawat pasar pada Majlis Ramah Mesra Bersama Nelayan di Jeti Nelayan Balok. - NSTP/Muhd Asyraf Sawal
MENTERI Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub (dua dari kanan) melawat pasar pada Majlis Ramah Mesra Bersama Nelayan di Jeti Nelayan Balok. - NSTP/Muhd Asyraf Sawal

Lesen sampan nelayan boleh diwarisi jika penuhi syarat - Salahuddin

KUANTAN: Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani dengan kerjasama Jabatan Perikanan, Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) dan Persatuan Nelayan Kebangsaan (PNK) sedia mempertimbangkan pewarisan lesen sampan dimiliki nelayan kepada anak mereka.

Menterinya, Datuk Salahuddin Ayub, berkata perkara itu antara perkara diberi perhatian memandangkan sebelum ini permohonan dikemukakan ahli keluarga nelayan untuk mendapat lesen perlu melalui pelbagai karenah birokrasi.

“Kalau ikutkan amalan sebelum ini, ada (lesen) yang dikeluarkan atas dasar fahaman atau sokongan kepada parti politik tertentu dan ini kita akan ubah.

“Perkara ini saya sudah minta kerjasama dan perhatian pihak LKIM dan PNK, kalau boleh kita akan permudahkan urusan (permohonan) lesen oleh anak atau ahli keluarga kepada nelayan yang masih aktif menangkap ikan.

“Kita akan permudahkan kelulusan permohonan yang dibuat, jika mereka (pemohon) mengemukakan bukti yang mereka adalah waris kepada nelayan terbabit dan turut disokong oleh persatuan nelayan kawasan terbabit,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas melakukan Lawatan Ramah Mesra Bersama Nelayan di Pasar Nelayan Kampung Balok, dekat Beserah, di sini, hari ini.

Yang turut hadir Ketua Pengarah Perikanan, Datuk Munir Mohd Nawi dan Ketua Pengarah LKIM, Jamaluddin Othman.

Sementara itu, Salahuddin berkata, pihaknya bercadang untuk menambah lagi jumlah pasar nelayan di seluruh negara bagi membantu komuniti nelayan menyediakan peluang pekerjaan kepada ahli keluarga mereka.

“Buat masa ini kita sudah ada 124 pasar nelayan dan kita memang bercadang untuk menambah lagi jumlah itu dalam masa terdekat.

“Sebenarnya konsep pasar nelayan ini sangat bagus kerana isteri dan anak mereka juga boleh bekerja di situ... maknanya, ia mencipta peluang pekerjaan kepada orang lain apabila pasar berkenaan beroperasi.

“Mengenai isu membabitkan pendapatan nelayan pula, tadi saya sempat melawat Jeti Nelayan LKIM Kuantan di Tanah Putih... kemudahan yang ada di situ sangat baik dan masih ada ruang untuk diperbaiki,” katanya.

Salahuddin berkata, paling penting kewujudan jeti nelayan itu membantu nelayan memastikan harga hasil tangkapan mereka dapat dijual pada harga yang memuaskan kepada pemborong secara terus, tanpa melalui orang tengah.

Berita Harian X