Khamis, 18 April 2019 | 3:00pm
KOMANDAN Kompeni B Batalion 3 Pasukan Gerakan Am (PGA) Bidor, Perak, Asisten Superintendan Joeking M Maniam Anthony hadir pada Sesi Pendengaran Awam Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai penemuan kem penempatan sementara dan kubur di Wang Kelian, di Putrajaya, hari ini. - Foto Mohd Fadli Hamzah

RCI Wang Kelian: Operasi pemusnahan kem temukan kubur manusia

PUTRAJAYA: Operasi pemusnahan kem penempatan sementara di Wang Kelian, Perlis pada 21 Januari 2015 membawa kepada penemuan kubur manusia.

Komandan Kompeni B Batalion 3 Pasukan Gerakan Am (PGA) Bidor, Perak, Asisten Superintendan Joeking M Maniam Anthony, berkata pasukannya diarah memusnahkan kem penempatan terbabit pada hari berkenaan, namun operasi terpaksa dihentikan selepas penemuan kubur itu.

“Saya bersama pasukan disertai 30 anggota pergi ke kem penempatan sementara itu pada tarikh berkenaan. Kami membakar kanvas di atas khemah yang didirikan dan barangan makanan.

“Selepas 40 minit operasi, kami terjumpa kubur. Kami berhenti memusnahkan kem berkenaan kerana tidak mahu barangan lain musnah bagi membolehkan siasatan lanjut dilakukan,” katanya.

Joeking berkata demikian pada Sesi Pendengaran Awam Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai penemuan kem penempatan sementara dan kubur di Wang Kelian di sini, hari ini.

Mengenai arahan pemusnahan kem penempatan sementara itu, Joeking berkata, beliau menerima arahan itu daripada Timbalan Ketua Polis Perlis pada ketika itu semasa hadir mesyuarat di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perlis pada 20 Januari 2015, sehari selepas kem penempatan itu ditemui.

“Saya memberi taklimat mengenai penemuan kem itu pada mesyuarat berkenaan. Saya ada bertanya apa perlu dibuat dengan kawasan itu. Kemudian arahan diberikan adalah pemusnahan kem itu oleh PGA,” katanya.

Ditanya mengapa arahan itu dikeluarkan, Joeking berkata, ia kemungkinan supaya tempat itu tidak boleh diduduki oleh pendatang asing tanpa izin (PATI) pada masa depan.

Joeking berkata, pada hari operasi pemusnahan kem sementara itu, pihaknya tidak menerima arahan untuk mengambil sebarang gambar namun sebahagian daripada anggotanya ada mengambil gambar kem itu menggunakan telefon bimbit.

“Mereka mengambil gambar tapi dalam pengetahuan saya. Terdapat 24 keping gambar yang diambil.

“Dalam Mac atau April 2015, kami menerima arahan daripada pegawai pemerintah supaya gambar yang diambil pada hari itu dipadamkan, kecuali gambar di batalion saja,” katanya.

Berita Harian X