Khamis, 18 April 2019 | 5:06pm
ZURAIDA Kamaruddin
ZURAIDA Kamaruddin

KPKT sasar jualan PR1MA 55 peratus sepanjang HOC

PUTRAJAYA: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan menyasarkan jualan unit Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) akan mencapai 55 peratus sepanjang penganjuran Kempen Pemilikan Kediaman (HOC) selama enam bulan berakhir Jun ini.

Menterinya, Zuraida Kamaruddin, berkata sejak dimulakan pada Januari lalu, sebanyak 25 peratus unit PR1MA terjual sepanjang kempen itu.

“Setakat ini, jualan PR1MA sepanjang kempen ini menunjukkan prestasi baik terutama projek di bandar yang mana hampir 100 peratus terjual. Bagi lokasi yang kurang menarik, agak kurang sedikit jualan.

“Selain itu, setakat ini, penjualan rumah lain di bawah kempen itu juga menunjukkan sambutan yang baik, cuma kita perlu terjemahkan dalam konteks pembelian kerana mereka memang buat tempahan tetapi ia tertakluk kepada kelulusan pinjaman,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Penyampaian Surat Tawaran kepada Pegawai Kemajuan Perkampungan (PKP) Kampung Baru kepada 23 individu di sini, hari ini.

Awal Februari lalu, kerajaan bersetuju memberi pengecualian duti setem bagi surat cara pembelian rumah dan surat cara perjanjian pinjaman untuk rumah yang dijual sepanjang tempoh HOC diadakan dari Januari hingga Jun ini yang mana inisiatif kerajaan dalam melaksanakan HOC itu dijangka bakal memacu pasaran hartanah tempatan.

Dalam pada itu, katanya, kerajaan sentiasa berusaha ke arah memastikan pemilikan rumah bagi rakyat Malaysia.

“Memang kita ada buat beberapa inisiatif, contohnya skim Sewa Untuk Milik (RTO). KPKT berjaya mengenal pasti beberapa syarikat dari China yang bersedia untuk membiayai program RTO.

“Mereka akan biayai program RTO bagi projek perumahan baharu yang dimulakan tahun ini. Mereka akan bantu kita, yang mana bila projek itu siap, syarikat yang terbabit akan biaya untuk lima tahun.

“Selepas itu, pada tahun keenam, pemilik boleh buat permohonan pinjaman daripada bank mengikut sistem biasa untuk membeli rumah,” katanya.

RTO adalah program Sewa Milik kediaman selama 10 tahun bagi pemohon yang berjaya dalam pengundian untuk Kediaman PR1MA tetapi gagal mendapatkan kelulusan pinjaman daripada bank panel PR1MA.

Di bawah skim RTO, pemohon perlu menyewa kediaman PR1MA sehingga 10 tahun. Pemohon diberi pilihan untuk membeli kediaman terbabit pada akhir tahun kelima atau ke-10 pada harga ditetapkan PR1MA.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X