Khamis, 18 April 2019 | 5:46pm
MENTERI Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub menyempurnakan Majlis Pecah Tanah Agro Mall FAMA Puchong, hari ini. - Foto Intan Nur Elliana Zakaria
MENTERI Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub menyempurnakan Majlis Pecah Tanah Agro Mall FAMA Puchong, hari ini. - Foto Intan Nur Elliana Zakaria

Penyelesaian orang tengah dibentang dua bulan lagi

PUCHONG: Jawatankuasa Khas Kabinet Menangani Orang Tengah dijangka membentangkan cadangan penambahbaikan dan penyelesaian bagi menangani isu berkenaan dalam tempoh dua bulan.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub, berkata buat masa ini Ketua Setiausaha (KSU) membabitkan lima kementerian sedang berbincang dan merangka terma rujukan untuk mendepani isu berkenaan.

Katanya, lima KSU itu membabitkan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Kementerian Dalam Negeri (KDN), Kementerian Wilayah Persekutuan serta Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).

“KSU di lima kementerian sedang merangka agenda dan perkara yang akan menjadi terma rujukan supaya dapat mengambil keputusan penting bagi menangani isu orang tengah.

“Selepas itu, barulah di peringkat kementerian akan mengadakan mesyuarat, saya rasa dalam tempoh dua bulan ini kita dapat merumuskan perkara besar jalan penyelesaian dalam mendepani isu orang tengah ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Pecah Tanah Agro Mall FAMA Puchong di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, Ir Izham Hashim dan Pengerusi Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Ishak Ismail.

Mengulas lanjut, Salahuddin berkata, antara perkara yang sedang diperhalusi ialah memendekkan rantaian pemasaran terutama membabitkan sektor perikanan.

“Memang selama ini rantaian pemasaran terlalu panjang sehingga ada isu nelayan hanya mendapat RM4 namun (orang tengah menjual) atas meja menjadi RM20.

“Sebab itulah kita tidak boleh membiarkan perkara ini berlaku, maka kita harus mencari jalan bagaimana memendekkan rantaian pemasaran. Ini boleh dilakukan sekiranya kita dapat mencari satu formula atau kaedah,” katanya.

Mengenai pembinaan Agro Mall FAMA itu, beliau berkata, projek bernilai RM8 juta itu dijangka siap tahun depan.

“Ia akan menempatkan lot jualan produk agro makanan, pameran produk industri asas tani dan dilengkapi kemudahan bilik sejuk, tandas, surau serta ruang meletak kenderaan.

“Projek ini akan menjadi saluran pasaran alternatif bagi meningkatkan jualan produk agro makanan keluaran usahawan tempatan,” katanya.

Berita Harian X