Sabtu, 20 April 2019 | 11:52am
MENTERI Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr Xavier Jayakumar pada perasmian Projek Taman Tugu. - NSTP/Saifullizan Tamadi

Belum buat keputusan bayar pampasan hutan simpan

KUALA LUMPUR: Kerajaan belum membuat keputusan untuk membayar pampasan kepada mana-mana negeri berikutan pengambilan hutan simpan dan rizab hidupan liar yang dijadikan kawasan tadahan air.

Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr Xavier Jayakumar, berkata bagaimanapun kerajaan mendapati ada beberapa cara lain yang boleh dipertimbangkan selain membuat bayaran pampasan kepada kerajaan negeri.

“Semua kerajaan negeri mahukan pampasan tetapi sama ada kita mampu membayarnya adalah persoalan yang lain. Semalam kami berbincang dan mendapati ada cara lain yang boleh dilaksanakan selain membayar pampasan.

“Ia merangkumi pelan dan program penanaman semula hutan serta industri perhutanan yang boleh diteroka sebagai satu sektor ekonomi baharu.

“Saya berpendapat kerajaan negeri patut mengambil peluang sepenuhnya daripada program berkenaan bagi membantu meningkatkan ekonomi negeri masing-masing,” katanya ketika ditemui pada sambutan Hari Bumi di Taman Tugu di sini, hari ini.

Sambutan yang disempurnakan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad turut dihadiri isterinya, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali.

Media sebelum ini melaporkan kerajaan Pahang mahu menuntut pampasan sebanyak RM17.1 bilion daripada kerajaan Pusat ekoran pengambilan kawasan hutan simpan dan rizab hidupan liar yang digunakan sebagai kawasan tadahan air untuk mensejahterakan rakyat dari luar negeri berkenaan.

Menteri Besarnya, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, dilaporkan berkata ia membabitkan kawasan seluas satu juta hektar yang menyebabkan kerajaan negeri terpaksa menanggung kos lepas yang tinggi.

Berita Harian X