Ahad, 21 April 2019 | 3:45pm
KETUA Pengarah Pelajaran, Datuk Dr Amin Senin. - Foto Adzlan Sidek
KETUA Pengarah Pelajaran, Datuk Dr Amin Senin. - Foto Adzlan Sidek

Isu Program Matrikulasi ke Kabinet

PUTRAJAYA: Cadangan bagi penambahan kuota bukan Bumiputera bagi Program Matrikulasi Kementerian Pendidikan akan dibawa ke mesyuarat Kabinet, Rabu ini.

Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Dr Amin Senin, berkata isu berkenaan akan dibangkitkan Menteri Pendidikan untuk perhatian jemaah menteri bagi keputusan sewajarnya.

“Kementerian Pendidikan mengambil perhatian serius terhadap pelbagai isu berbangkit mengenai kemasukan ke Program Matrikulasi kementerian.

“Mengambil kira pandangan semua pihak, kementerian akan memastikan isu ini ditangani dengan cermat bagi mendapatkan jalan penyelesaian terbaik melalui saluran yang tepat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata berdasarkan keperluan, Kementerian Pendidikan kekal dengan dasar asal iaitu 90 peratus tempat untuk pelajar Bumiputera dan 10 peratus tempat untuk bukan Bumiputera.

“Tahun ini penambahbaikan dibuat iaitu di samping mengekalkan dasar 90:10, pengambilan memberikan peluang tempat kepada 60 peratus pelajar dari keluarga berpendapatan B40,” katanya.

Beliau berkata, Kementerian Pendidikan sudah melihat semula semua cadangan termasuk cadangan penambahan kuota bukan Bumiputera yang perlu selaras dengan dasar asal 90:10.

“Hanya ada 25,000 saja kapasiti pengambilan keseluruhan setiap tahun. Jadi dasar semasa adalah 22,500 untuk pelajar Bumiputera dan 2,500 untuk bukan Bumiputera.

“Program ini diwujudkan asalnya adalah untuk Bumiputera,” katanya.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X