Ahad, 21 April 2019 | 5:03pm
MENTERI Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman bergambar bersama pelajar kolej Teknik Batu Lachang pada majlis perasmian Festival Anak Muda Pulau Pinang di Tapak Pesta, Georgetown, hari ini. - Foto Ramdzan Masiam

Jawatankuasa khas atasi isu pekerjaan belia, pendapatan tak setimpal

GEORGETOWN: Kabinet bersetuju untuk menubuhkan satu jawatankuasa khas bagi menangani isu kadar pengangguran dalam kalangan belia dan tangga gaji yang tidak setimpal dihadapi golongan itu.

Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, berkata jawatankuasa itu bukan saja dianggotai oleh menteri berkaitan tetapi juga tokoh korporat.

Katanya, jawatankuasa itu akan dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau berkata statistik Kementerian Sumber Manusia dan Bank Negara Malaysia (BNM) merekodkan kadar pengangguran belia di negara ini berada pada paras 10.7 peratus.

“Kementerian Belia dan Sukan (KBS) terpanggil untuk berusaha mengurangkan kadar pengangguran daripada 10.7 peratus kepada ‘angka tunggal’ iaitu dengan mengusulkan menubuhkan jawatankuasa khas.

“Jawatankuasa khas ini bertujuan untuk mencari dan mencipta satu juta peluang pekerjaan seperti dalam manifesto Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) lalu.

“Kita jangkakan ia dapat dicapai dalam tempoh lima ke 10 tahun,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Festival Anak Muda Pulau Pinang di Tapak Pesta, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Sim Tze Tzin serta EXCO Belia dan Sukan negeri, Soon Lip Chee.

“Uniknya, dalam jawatankuasa khas ini bukan hanya diwakili jemaah menteri tetapi ia akan disertai tokoh korporat yang sekian lama mencipta puluhan ribu peluang pekerjaan di negara ini.

“Ini kerana, kerajaan amat memerlukan sokongan daripada sektor swasta, khususnya dalam menyelesaikan masalah tangga gaji yang dilihat statik sejak 20 tahun lalu,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Muar berkata, tangga gaji statik itu muncul sebagai masalah utama, walaupun belia mempunyai kemahiran dan mengikut kehendak pasaran.

“Ia dapat dilihat bukan sahaja dalam bidang Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), namun belia yang mempunyai kelulusan ijazah sarjana muda dan sarjana juga tangga gaji mereka dilihat statik.

“Ada kata anak muda malas dan meminta gaji tinggi tetapi ia tidak benar, sebaliknya mereka hanya mahukan kadar gaji yang bermaruah (setimpal dengan kelayakan),” katanya.

Berita Harian X