Ahad, 21 April 2019 | 5:50pm
Muhyiddin bersama Dr Sahruddin ketika sidang media selepas mengadakan kunjungan hormat ke Pejabat Menteri Besar Johor di Kota Iskandar, Iskandar Puteri. - NSTP/Hairul Anuar Rahim

Lantikan semula EXCO Johor esok

ISKANDAR PUTERI: Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar, sudah memberi perkenan terhadap semua senarai Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) yang dicadangkan Menteri Besar, Dr Sahruddin Jamal.

Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Johor, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata Dr Sahruddin sudah menyampaikan senarai barisan EXCO kepada Sultan Ibrahim, hari ini.

Beliau yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, pelantikan semula barisan EXCO baharu akan dilakukan esok dan sudah diperkenankan Sultan Ibrahim.

“Saya bersyukur (pelantikan EXCO sudah diperkenan) dan selepas terbentuknya barisan EXCO dipimpin Menteri Besar, maka pentadbiran negeri dapat berjalan dengan lebih lancar.

“Segala perkara yang dirancang dahulu dapat diteruskan. Saya menyatakan kesediaan memberi pandangan dan pendapat kalau diminta bagi sama-sama melihat Johor menjadi negeri maju dan berjaya,” katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas mengadakan kunjungan hormat ke atas Dr Sahruddin di Pejabat Menteri Besar di Kota Iskandar di sini, hari ini.

Difahamkan, pelantikan semula EXCO Johor akan berlangsung pagi esok di Istana Bukit Serene, Johor Bahru.

Terdahulu, Muhyiddin bersama Dr Sahruddin memasuki pekarangan Istana Pasir Pelangi pada jam 10.50 pagi tadi untuk mengadap Sultan Ibrahim lebih sejam.

Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata beliau mendengar beberapa perkara yang dititahkan Sultan Ibrahim untuk diambil perhatian.

Beliau turut memaklumkan kepada baginda hubungan antara Kerajaan Persekutuan dan negeri mesti rapat dan akrab.

“Ini kerana perhubungan yang baik dan perkara yang perlu dijelaskan boleh disampaikan Menteri Besar yang baharu supaya maklumat itu sampai pada kepemimpinan di peringkat Persekutuan sama ada Perdana Menteri atau Menteri berkaitan,” katanya.

Ditanya kedudukan Datuk Osman Sapian sebagai pemangku Pengerusi PH Johor, Muhyiddin berkata perkara itu akan diteliti semula oleh pucuk pimpinan tertinggi parti.

Berita Harian X