Ahad, 21 April 2019 | 11:51pm
Tiga muka baharu yang bakal dilantik sebagai EXCO, dari kiri; Tosrin Jarvanthi, Mohd Solihan Badri dan Tan Chen Choon. - Foto Adi Safri

Tiga nama disebut EXCO baharu Johor, dua berubah portfolio

JOHOR BAHRU: Barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) yang dilantik esok bakal menyaksikan tiga muka baharu selain hampir semua portfolio distruktur semula.

Menurut sumber BH, tiga muka baharu ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Permai, Tosrin Jarvanthi dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU); ADUN Tenang, Mohd Solihan Badri (BERSATU) dan ADUN Jementah, Tan Chen Choon (DAP).

“Dua EXCO sah digugurkan ialah ADUN Skudai yang sebelum ini menjawat portfolio Kerajaan Tempatan, Sains dan Teknologi, Tang Hong Pin serta Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Infrastruktur dan Pengangkutan negeri yang juga ADUN Puteri Wangsa, Mazlan Bujang.

“Penstrukturan semula portfolio juga dilakukan secara menyeluruh dan semuanya dengan nama baharu sebagai contoh portfolio Pendidikan kini bergabung dengan Sumber Manusia, Sains dan Teknologi.

“Kesihatan pula misalnya akan digabungkan dengan Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat,” katanya ketika dihubungi BH, hari ini.

Sejak Dr Sahruddin mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar pada 14 April lalu, pelbagai spekulasi dan laporan media mengatakan terdapat beberapa nama EXCO akan digugurkan selain terdapat muka baharu yang akan membarisi ‘pasukan’ pentadbiran Dr Sahruddin.

Esok, majlis pelantikan dan mengangkat sumpah jawatan EXCO akan berlangsung di Istana Bukit Serene pada jam 9 pagi dan Dr Sahruddin dijangka mengadakan sidang media bersama barisan kepimpinan baharu pada tengah hari.

Berita Harian X