Isnin, 22 April 2019 | 11:54am
TUN Dr Mahathir Mohamad ketika berucap pada perasmian Konvensyen Orang Asli Kebangsaan 2019 di PICC Putrajaya. - Foto Luqman Hakim Zubir
TUN Dr Mahathir Mohamad ketika berucap pada perasmian Konvensyen Orang Asli Kebangsaan 2019 di PICC Putrajaya. - Foto Luqman Hakim Zubir

Kerajaan teliti isu kuota bukan Bumiputera program matrikulasi - PM

PUTRAJAYA: Kerajaan akan mengkaji isu kuota bukan Bumiputera bagi Program Matrikulasi Kementerian Pendidikan, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.

Perdana Menteri berkata, perkara itu akan diteliti sebelum kerajaan membuat sebarang keputusan mengenainya.

“Kita akan mengkaji isu ini,” katanya ketika ditemui media selepas melancarkan Konvensyen Orang Asli Kebangsaan 2019 di sini, hari ini.

Semalam, Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Dr Amin Senin menerusi kenyataan berkata, cadangan bagi penambahan kuota bukan Bumiputera untuk Program Matrikulasi Kementerian Pendidikan akan dibawa ke mesyuarat Kabinet, Rabu ini.

Beliau dilaporkan berkata, isu berkenaan akan dibangkitkan Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik untuk perhatian Jemaah Menteri bagi keputusan sewajarnya.

Dr Amin berkata, Kementerian Pendidikan mengambil perhatian serius terhadap pelbagai isu berbangkit mengenai kemasukan ke Program Matrikulasi kementerian dan akan mengambil kira pandangan semua pihak bagi memastikan isu itu ditangani dengan cermat dan mendapatkan jalan penyelesaian terbaik melalui saluran tepat.

Berdasarkan keperluan, katanya, Kementerian Pendidikan kekal dengan dasar asal iaitu 90 peratus tempat untuk pelajar Bumiputera dan 10 peratus tempat untuk bukan Bumiputera, namun tahun ini memberikan peluang kepada 60 peratus pelajar dari keluarga berpendapatan B40.

Ketika ini, hanya terdapat 25,000 kapasiti pengambilan keseluruhan setiap tahun yang mana dasar semasa adalah 22,500 untuk pelajar Bumiputera dan 2,500 untuk bukan Bumiputera.

Jumaat lalu, Kementerian Pendidikan memaklumkan penawaran 2,200 dan 1,000 tempat kepada pelajar berketurunan India dan Cina dalam Program Matrikulasi adalah inisiatif secara ‘one-off’ bagi pengambilan tahun lalu.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X