Isnin, 22 April 2019 | 3:29pm
MENTERI Besar Johor, Datuk Dr Sahruddin Jamal (tengah) ketika sidang media selepas perlantikan Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Johor yang baharu di Kota Iskandar, Iskandar Puteri. - Foto Hairul Anuar Rahim

EXCO baharu janji tunai amanah

ISKANDAR PUTERI: Tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang menjadi muka baharu menganggotai barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) Johor berjanji memberi khidmat terbaik dalam menggalas amanah diberikan.

Tosrin Jarvanthi, 69; Mohd Solihan Badri, 62; dan Tan Chen Choon, 49, turut berikrar memberi sepenuh sokongan kepada Menteri Besar, Datuk Dr Sahruddin Jamal, dalam merencanakan pembangunan negeri.

Tosrin yang juga ADUN Bukit Permai berkata, pelantikan sebagai EXCO adalah tanggungjawab berat namun akan melaksanakan tugas dengan amanah dan ikhlas.

“Selepas 36 tahun, saya kembali aktif dalam politik negeri dan kini dilantik sebagai EXCO.

“Saya cakap terus terang, saya tidak tipu, saya tidak ada sijil, saya tidak ada diploma. Saya hanya bersekolah di Sekolah Kebangsaan (SK) Ladang FELDA dan SK Pengkalan Rinting sehingga Tahun Enam.

“Namun saya akan berikan yang terbaik termasuk menggerakkan program gerak kerja untuk rakyat,” katanya yang dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Pertanian dan Pembangunan Luar Bandar.

Beliau berkata demikian selepas sidang media Menteri Besar Johor di Bangunan Datuk Jaafar Muhammad, di sini, hari ini.

Sementara itu, Solihan yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur, akan memastikan segala perancangan yang dibuat sebelum ini diteruskan dan ditambah baik.

“Portfolio yang diamanahkan kepada saya agak berat kerana Johor rancak membangun dengan pesat.

“Saya akan berikan perkhidmatan terbaik demi menunaikan amanah,” katanya.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Kesejahteraan Bandar dan Alam Sekitar, Tan Chen Choon, berterima kasih kepada pucuk pimpinan DAP kerana mencadangkan namanya.

“Terima kasih juga pada Menteri Besar yang membuat pelantikan ini.

“Hubungan kita (dengan bekas EXCO, Tan Hong Pin) baik dan tiada masalah,” katanya ringkas.

Berita Harian X