Isnin, 22 April 2019 | 5:26pm
- Foto hiasan

Cari pendekatan lain tingkat pendapatan peneroka FELDA

KLUANG: Majlis Belia FELDA Malaysia (MBFM) mencadangkan FELDA mencari jalan menstabilkan serta meningkatkan harga komoditi sawit tanpa mewajibkan semua peneroka memajak tanah mereka.

Naib Presidennya, Mohd Rasidi Ismail, berkata model baharu pengurusan tanah peneroka oleh FELDA menerusi pajakan hanya memberi manfaat kepada sebahagian peneroka yang mempunyai pendapatan rendah daripada hasil tuaian.

Beliau berkata, sebahagian besar peneroka mempunyai pendapatan yang lebih baik dan tidak bersetuju dengan rancangan berkenaan.

“Saya lihat rancangan pajakan tanah ini timbul apabila pengurusan tertinggi FELDA cuba memanipulasi keadaan dengan mengaburi mata peneroka melalui jaminan pendapatan mereka akan menjadi lebih baik apabila tanah dipajakkan.

“Bagaimanapun, jika rancangan pajakan itu mahu diteruskan juga, ia perlu berlandaskan atas dasar kefahaman dan kerelaan peneroka tanpa paksaan,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Pengerusi FELDA, Tan Sri Megat Zaharuddin Megat Mohd Nor, kelmarin dilaporkan berkata, model baharu pengurusan tanah peneroka oleh FELDA menerusi pajakan akan memberi pendapatan bulanan minimum yang lebih tinggi dan perkongsian keuntungan hasil ladang itu.

Katanya, menerusi model baharu itu, FELDA akan memajak semua tanah peneroka, melaksanakan amalan ladang terbaik dan menggunakan klon benih berkualiti, untuk meningkatkan hasil pengeluaran dan mengurangkan kos operasi.

Beliau dilaporkan berkata, FELDA akan memastikan peneroka menerima pendapatan minimum bulanan lebih tinggi daripada RM1,000 elaun sara hidup yang dibayar sekarang, selain pendapatan tambahan menerusi perkongsian hasil keuntungan.

Mengulas lanjut, Mohd Rasidi berkata, persetujuan peneroka penting kerana tanah itu adalah hak mereka dan dilindungi oleh undang-undang.

“Pengurusan FELDA perlu turun padang memberi penjelasan kepada peneroka mengenai cadangan dan kesan pelaksanaan pajakan tanah itu dan biar peneroka membuat keputusan yang terbaik untuk diri mereka tanpa wujud paksaan atau desakan,” katanya.

Berita Harian X