Selasa, 23 April 2019 | 12:07pm
MENTERI Kewangan, Lim Guan Eng hadir pada majlis menandatangani perjanjian utama Program Kolaborasi Industri (ICP) dengan Bombardier Hartasuma Consortium (BHC) di Putrajaya, hari ini. - Foto Ahmad Irham Mohd Noor

Kerajaan Malaysia tandatangan ICP manfaat industri rel negara

PUTRAJAYA: Kerajaan Malaysia hari ini menandatangani perjanjian utama Program Kolaborasi Industri (ICP) dengan Bombardier Hartasuma Consortium (BHC) berkaitan kontrak membekal dan memperbaharui kereta api bagi Prasarana Malaysia Berhad.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, berkata perjanjian itu membabitkan pembekalan 27 set kereta api baharu untuk Laluan Kelana Jaya (KLAV-27) dan ‘mid-life refurbishment’ (pengubahsuaian pertengahan hayat) untuk set kereta api 2-koc Laluan Kelana Jaya (MLR).

“Bagi ICP untuk kontrak perolehan KLAV-27 yang bernilai RM1.7 bilion, pihak BHC komited untuk memaksimumkan penggunaan kandungan bahan tempatan pada kadar sekurang-kurangnya 35 peratus yang dianggarkan berjumlah RM600 juta.

“Pendekatan ini boleh menjadi pemangkin bagi syarikat tempatan untuk terbabit dalam kerjasama strategik dengan syarikat Bombardier di peringkat antarabangsa dan seterusnya menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi dan industri negara.

“Selain itu, ratusan peluang pekerjaan bagi warga tempatan akan tercapai dalam tempoh empat tahun akan datang melalui pelaksanaan ICP itu.

“Pembekalan set kereta api baharu bagi KLAV-27 dijangka dimulakan pada suku pertama tahun depan dan dijangka dilengkapkan dalam jangka masa lima tahun,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Guan Eng berkata, bagi program ICP untuk kontrak perolehan MLR yang bernilai RM473 juta pula, BHC sudah menambah bilangan pengilang tempatan dalam pangkalan data bagi skop ‘rolling stock’.

“Pembekalan bahan tempatan dan perkhidmatan melalui 14 syarikat tempatan ini dianggarkan berjumlah RM100.7 juta yang mana ia akan membekalkan komponen perkhidmatan pada harga yang berdaya saing dan ini akan memastikan kesinambungan serta kemampanan sektor rel.

“Bagi MLR, semua aktiviti dijangka dapat disiapkan menjelang suku pertama 2021 iaitu mengambil masa kira-kira tiga tahun,” katanya.

Beliau berkata, kedua-dua perolehan itu melebihi nilai ambang yang ditetapkan maka ia mencetuskan pelaksanaan ICP yang mana nilai ambang itu adalah setiap perolehan bernilai RM50 juta dan ke atas yang dianugerahkan kepada syarikat asing atau setiap perolehan bernilai RM100 juta dan ke atas yang dianugerahkan kepada syarikat tempatan.

Katanya, pelaksanaan program ICP akan memberi manfaat kepada pertumbuhan Malaysia dalam industri rel dan secara tidak langsung membolehkan Malaysia melangkah ke arah negara maju.

“Kejayaan ini hasil daripada rundingan projek ICP diketuai oleh Technology Depository Agency (TDA) yang turut mengambil kira keperluan industri tempatan untuk kekal berdaya saing daripada perspektif teknologi dan penyesuaian pasaran.

“TDA adalah satu agensi di bawah Kementerian Kewangan yang diberi mandat untuk menguruskan pelaksanaan program ICP dan memastikan pulangan nilai untuk perolehan kerajaan.

“Ini tentunya salah satu contoh kejayaan dalam pelaksanaan ICP sebagai satu kaedah untuk menggalakkan kerjasama yang membawa manfaat menyeluruh kepada pihak berkepentingan.

“Program ICP untuk kedua-dua perolehan ini kini dipantau dan diuruskan oleh TDA dan penandatangani perjanjian utama ICP antara kerajaan Malaysia dan BHC adalah salah satu tonggak utama dalam rangka kerja pengurusan ICP dan saya berharap untuk

menyaksikan lebih banyak pelaksanaan ICP pada masa depan,” katanya.

Berita Harian X