Selasa, 23 April 2019 | 4:57pm
Status Hannah dalam laman Facebooknya, hari ini.

Hannah tolak cadangan Khalid

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh menolak cadangan Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad yang bersetuju saiz projek pembangunan Taman Rimba Kiara dekat Taman Tun Dr Ismail (TTDI) dikecilkan.

Hannah yang juga Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, berkata penyelesaian secara tolak ansur dicadangkan Khalid dianggap tidak mempunyai perbezaan dengan projek asal diluluskan bekas Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

“Inilah sebabnya saya menolak cadangan ini. Perbezaan di antara legasi Tengku Adnan dalam isu Taman Rimba Kiara dan penyelesaian dicadangkan Khalid tiada bezanya dan ini tidak bagus bagi saya, penduduk rumah panjang dan pengguna Taman Rimba Kiara.

“Kenapa pindahkan mereka ke satu sudut kecil, mewujudkan halangan besar di antara mereka yang mampu membeli kondominium dan mereka yang tidak berkemampuan. Saya mahu penduduk rumah panjang dilayan lebih baik daripada ini.

“Rancangan baharu itu memisahkan penduduk pangsapuri mewah dengan penduduk asal rumah panjang. Bagi setiap kondominium dan rumah mampu milik di Lembah Klang, semua tanah sekeliling biasanya digunakan untuk tempat letak kenderaan penduduk dan pelawat,” katanya dalam statusnya di Facebook, hari ini.

Semalam, Khalid dilaporkan berkata, pemaju projek di Taman Rimba Kiara bersetuju mengurangkan saiz dan jumlah blok pangsapuri dengan keluasan projek itu dikecilkan daripada 4.9 hektar kepada 3.2 hektar.

Katanya, sebuah blok pangsapuri yang terdiri daripada 350 unit bagi kegunaan penduduk rumah panjang Bukit Kiara dikekalkan dalam projek itu.

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) meluluskan projek itu pada Julai 2017, walaupun terdapat bantahan daripada ramai penduduk sekeliling termasuk Persatuan Penduduk TTDI.

Projek itu mencetuskan kontroversi apabila pada April 2017, DBKL mengeluarkan perintah pembangunan bagi projek mega di atas lot seluas 4.8 hektar daripada 10.1 hektar Taman Rimba Kiara.

Projek yang dirancang ialah pembinaan satu blok 350 unit rumah mampu milik untuk komuniti rumah panjang Bukit Kiara dan lapan blok kondominium mewah 50 tingkat.

Berita Harian X