Selasa, 23 April 2019 | 5:22pm
MENTERI Pertahanan, Mohamad Sabu. - Foto Saifullizan Tamadi

Malaysia-Russia kukuh bidang pertahanan

KUALA LUMPUR: Malaysia dan Russia akan memperkukuh ruang kerjasama pertahanan khususnya berkaitan latihan bersama dan pemindahan teknologi.

Kementerian Pertahanan dalam kenyataannya berkata perkara itu antara yang diketengahkan Malaysia menerusi lawatan Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu ke Moscow ketika ini dalam pertemuan dengan rakan sejawatannya, Jeneral Sergei Shoigu.

“Lawatan kerja rasmi ke Moscow, Russia ini dilihat sebagai salah satu platform penting bagi menjelaskan lagi komitmen dalam mengukuhkan jaringan kerjasama dan industri pertahanan antara kedua-dua negara,” katanya.

Selain bertemu Shoigu, Mohamad juga dijadual mengadakan pertemuan bersama pihak syarikat Rostec Corporation dan Irkut Corporation selain melawat syarikat industri pertahanan lain di Russia.

“Menteri Pertahanan dijadual memberikan ucapan bertajuk ‘The Aftermath of ISIS Defeat in Syria and Iraq, Its Implications’ pada Persidangan Moscow mengenai Keselamatan Antarabangsa (MCIS) kelapan,” katanya.

Mohamad kini dalam rangka lawatan kerja rasmi ke Moscow selama empat hari bermula semalam hingga Khamis sebagai memenuhi jemputan negara berkenaan.

Delegasi Malaysia itu turut disertai Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Affendi Buang; Duta Besar Malaysia ke Russia, Datuk Mat Dris Yaacob; Ketua Pengarah Perisikan Pertahanan, Leftenan Jeneral Datuk Sheikh Mokhsin Sheikh Hassan dan pegawai kanan Kementerian Pertahanan.

Berita Harian X