Selasa, 23 April 2019 | 7:53pm
Hasnul pada sesi penggulungan Sidang DUN Perak di Ipoh, hari ini. - NSTP/Abdullah Yusof

Pembangkang main persepsi, tidak berpandukan realiti

IPOH: Pembangkang hanya berdasarkan persepsi dan bukan realiti sebenar ketika memperkatakan isu semasa khususnya perkara membabitkan kepentingan Melayu.

Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi, Multimedia dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Hasnul Zulkarnain Abd Munaim, berkata hakikat yang wajib disedari, jurang kekayaan berlaku secara lebih ketara bukan sahaja antara Melayu dengan bukan Melayu, tetapi antara Melayu yang berada dengan Melayu yang kurang berada.

“Ketakutan yang entah di mana punca dan buktinya menjadi candu pihak tertentu yang masih belum boleh menerima hakikat bahawa pilihan raya sudah tamat, tempoh lima tahun dan berbaki kira-kira empat tahun lagi mandat rakyat untuk kami berkhidmat, masih dicemburui dan cuba diganggu-gugat dengan cerita dongeng menghasut rakyat kononnya Islam tergugat dan Melayu merempat.

“Apa sudah hilangkah sikap rasional dan pertimbangan waras. Segala apa yang diusahakan kerajaan pada hari ini, segala laporan dan kertas putih yang dibentangkan, segala laporan audit yang didedahkan, segala tindakan undang-undang yang dilaksanakan dan segala bukti yang dikemukakan adalah tindakan beramanah dan bertanggungjawab pihak kerajaan pada hari ini untuk menyelamatkan maruah Melayu dan Islam dari terus diratah dan ditunggang kerajaan terdahulu.

“Terutama mereka yang menggelarkan diri mereka penyelamat Melayu tapi pada masa yang sama mengambil kesempatan untuk kepuasan kemewahan dan laba politik masing-masing,” katanya pada sesi penggulungan Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak di sini, hari ini.

Hasnul berkata, ada juga pihak yang langsung tidak ambil pusing semua laporan antarabangsa tentang penyelewengan besar dana negara dengan hujah ‘seseorang itu tidak bersalah sehingga dia dibuktikan bersalah’.

“Sebagai contoh, pada satu ketika, pembangkang membuat tohmahan bahawa sekiranya Pakatan Harapan mengambil alih pemerintahan, negara ini bakal menjadi negara Kristian.

“Perkara itu dijaja ke kampung-kampung, tanpa mereka sedar, tindakan itu menghina institusi Melayu dan Islam di bawah Sultan dan Raja Melayu dan dilihat seolah mereka (Raja-Raja Melayu) ini bisu dan tiada upaya untuk mempertahankan institusi penting di bawah mereka,” katanya.

Beliau berkata, hakikatnya ketika ini kedudukan yang dijamin Perlembagaan masih kekal utuh, malah bertambah baik, cuma apa yang menyedihkan, Melayu terus dilemahkan minda mereka untuk terus berpaut dengan hasutan jahat demi laba politik singkat pembangkang.

Katanya, pembangkang juga dilihat terus membina persepsi, memutar fakta, menyulam fitnah yang sudah boleh dibaca dan diulang berkali-kali untuk menaikkan emosi orang Melayu, untuk tanam sifat kebencian, menutup kesilapan dan kerosakan yang dilakukan kerajaan sebelum ini.

Berita Harian X