Selasa, 23 April 2019 | 9:17pm
Syed Saddiq ketika menjawab pertanyaan pada sidang media Menteri Belia dan Sukan di Menara KBS, Putrajaya, hari ini. - Foto BERNAMA

3 pencapaian KBS

PUTRAJAYA: Tiga pencapaian besar dicapai oleh Kementerian Belia dan Sukan sejak Pakatan Harapan (PH) mengambil alih kerajaan pada 9 Mei lalu.

Menterinya, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, berkata tiga pencapaian besar itu ialah program Sekolah Kepemimpinan Masa Depan Malaysia (MFLS), Skim Kesihatan Khas untuk atlet dan Projek Reben Kuning iaitu usaha memberikan bekas banduan peluang kerjaya.

Katanya, program MFLS yang bertujuan melahirkan kepemimpinan anak muda yang berwawasan dijangka dilancarkan oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pada 3 Mei ini.

Program itu yang menggantikan Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) dan Biro Tata Negara (BTN) turut mendapat perhatian Dr Mahathir ke arah melahirkan kepemimpinan anak muda yang berwawasan, berintegriti dan beramanah bagi mewarisi negara ini.

“Tidak silap saya, menjadi rutin sejak 16 tahun lalu, Dr Mahathir akan ke Jepun untuk memberi syarahan kepada anak muda di sana.

“Saya cemburu mengapa anak muda di Jepun diberikan slot khas untuk dilatih oleh beliau sedangkan Malaysia tidak boleh, jadi kita bawa ia (program) ke Malaysia dan buat yang lebih baik lagi.

“Kita juga dapat pujian daripada Japanese Future Leaders School (JFLS) mengenai bagaimana kita dalam masa singkat tidak sampai setahun boleh merangka sebaik ini.

“Kita kini memasuki fasa kedua pelaksanaannya dan dianggarkan 30,000 akan dilatih menjelang akhir tahun ini,” katanya pada sidang media menjelang setahun pentadbiran PH di sini, hari ini.

MFLS dilaksanakan dalam tiga fasa mengadaptasikan modul yang diguna pakai di Jepun tetapi diubah suai dalam konteks tempatan dengan mengambil kira pandangan pakar di Malaysia.

Skim Kesihatan Khas untuk atlet pula adalah aspek kebajikan yang berjaya diperjuangkan kementerian

untuk golongan itu.

“Pada mulanya memang sukar untuk memohon untuk inisiatif ini, disebabkan kos yang tinggi, tetapi pada saya ia adalah perkara yang wajib diperjuangkan dan kita berjaya,” katanya.

Projek Reben Kuning adalah usaha memberikan peluang kerjaya kepada bekas banduan dan belia berisiko.

“Kita adalah antara negara pertama yang melakukan inisiatif seperti ini dengan memberikan insentif cukai kepada majikan yang menggajikan bekas banduan.

“Saya juga sudah bangkitkan kepada Ketua Setiausaha Negara dan kami sedang bekerjasama dalam jawatankuasa khas membincangkan keperluan menyerap bekas banduan dalam sistem Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

“Pada saya, kita tidak mahu jadi kerajaan yang hipokrit, mahu majikan lain (sektor swasta) ambil bekas banduan jadi pekerja, tapi kita (kerajaan) tidak cuba ambil,” katanya.

Dalam pada itu, katanya perkara lain yang sedang masih dalam proses untuk dicapai adalah penyediaan 100,000 peluang pekerjaan setiap tahun sekali gus mewujudkan satu juta peluang pekerjaan dalam tempoh 10 tahun, perumahan mampu milik bagi anak muda dan pindaan perlembagaan untuk menurunkan umur layak mengundi kepada 18 tahun.

“Semua perkara ini masih saya usahakan untuk memastikan anak muda di negara ini terus diperkasa dan masih banyak lagi yang saya mahu lakukan untuk anak muda di negara ini,” katanya.

Berita Harian X