Selasa, 23 April 2019 | 9:23pm

MRL nafi dakwaan CCCC ada hak terhadap mineral, galian

KUALA LUMPUR: Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) menafikan dakwaan China Communications Construction Company Ltd (CCCC) mempunyai sebarang hak dan kepentingan terhadap hasil mineral serta galian di negeri terbabit dalam pembinaan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).

Malah, MRL menegaskan projek ECRL yang kini menghubungkan negeri Kelantan, Terengganu, Pahang, Negeri Sembilan, Selangor dan Putrajaya sepanjang 640 kilometer (km) adalah tertakluk kepada Kanun Tanah Negara 1965.

Katanya, Seksyen 40, Kanun Tanah Negara 1965, dengan jelas menyatakan bahawa semua galian dan bahan batuan yang terkandung atau berada di atas tanah adalah hak milik kerajaan negeri melalui Pihak Berkuasa Negeri (PBN).

“Justeru, kami menafikan dakwaan berita dan ulasan yang menyatakan bahawa hasil mineral dan galian seperti emas dan silika akan dimiliki oleh CCCC ketika pembinaan rangkaian rel ECRL.

“Sama seperti mana-mana kontrak pembinaan, kontrak kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pelaksanaan (EPCC) bagi projek ECRL juga mempunyai klausa ‘Antiquities’.

“Ini bermakna semua barang antik dan harta berkepentingan yang dijumpai di tapak pembinaan akan dimiliki sepenuhnya oleh majikan terbabit, dalam hal ini ini, ia adalah MRL,” kata MRL dalam satu kenyataan media hari ini.

Sementara itu, MRL juga menegaskan bahawa ia adalah pemilik penuh aset rangkaian rel ECRL dalam syarikat usaha sama 50:50 yang akan ditubuhkan bersama CCCC untuk operasi dan penyelenggaraan ECRL bagi memastikan aset di bawah projek berkenaan kekal di bawah kawalan Kerajaan Malaysia,

Mengulas lanjut, katanya, sebagai anak syarikat milik penuh Menteri Kewangan Diperbadankan (MOF Inc.), MRL juga menekankan bahawa pelantikan utama Ahli Lembaga Pengarah dan pengurusan tertinggi dalam syarikat usaha sama akan ditetapkan oleh Kerajaan Malaysia.

“Sebagai pemilik aset dan projek ECRL, MRL menyangkal dakwaan berita dan ulasan yang mencadangkan bahawa Malaysia berisiko menggadaikan aset serta kedaulatan negara kepada China menerusi syarikat usaha sama.

“Tujuan utama syarikat usaha sama MRL dan CCCC ditubuhkan adalah untuk perkongsian risiko operasi dan sokongan teknikal, Malaysia juga dapat memanfaatkan kepakaran operasi dan penyelenggaraan ECRL menerusi konglomerat yang disokong Kerajaan China,” katanya.

Dalam pada itu, MRL juga memaklumkannya bahawa menerusi memorandum persefahaman (MoU), tiada jaminan pendapatan atau keuntungan daripada kerajaan Malaysia untuk usaha sama MRL-CCCC dalam menguruskan operasi dan penyelenggaraan.

“Justeru, pembahagian keuntungan dan kerugian syarikat usaha sama tertakluk kepada MoU yang sudah dipersetujui.

Melalui persefahaman yang dicapai, kerugian operasi ECRL akan ditanggung 50:50 antara MRL dan CCCC.

Namun, jika operasi mencatatkan keuntungan, 80 peratus keuntungan adalah milik MRL dan baki 20 peratus milik CCCC,” katanya.

Berita Harian X