Rabu, 24 April 2019 | 2:24pm
RASHIDI Hasbullah

Balai Seni Negara tiada perancangan anjur pameran Doraemon

PUTRAJAYA: Balai Seni Negara hari ini menjelaskan pihaknya tiada perancangan mengadakan pameran kartun animasi terkenal Jepun, Doraemon sempena Tahun Melawat Malaysia 2020 (TMM2020).

Agensi itu menerusi kenyataan hari ini berkata, kenyataan Pengerusi Lembaga Pembangunan Seni Visual Negara, Datuk Rashidi Hasbullah ketika perasmian Doraemon Pop-Up store di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) bulan lalu, tidak bermaksud pihaknya mahu menggunakan kartun animasi itu untuk mempromosi TMM2020.

Kata kenyataan itu, Rashidi ketika majlis berkenaan sebenarnya berkata, jika Doraemon membuat promosi di Jepun sempena Sukan Olimpik 2020 di negara terbabit, pihak Doraemon boleh mempromosikan sekali TMM2020.

Kenyataan itu menyebut, jika pihak pengurusan kartun animasi popular terbabit ada perancangan untuk membuat pameran di Jepun sempena Olimpik, Malaysia l boleh bekerjasama.

“Untuk maklumat tambahan, Doraemon Pop -Up Store adalah program promosi bergerak produk dan cenderamata Doraemon, bukannya berbentuk pameran.

“Balai Seni Negara mengambil berat pandangan dan kebimbangan Pengerusi Animasi Malaysia (ANIMAS), Ameri Hamzah Hashim mengenai perkara ini.

“Balai Seni Negara sentiasa mengutamakan seni visual tempatan dan memartabatkan seni serta karyawan tempatan,” katanya.

Kenyataan itu juga menyebut, kalendar program dan pameran untuk tahun 2020 telah dirancang membabitkan pengisian khas dengan Pameran Koleksi Seni Visual Negara yang mana pelukis terkenal menampilkan karya bertemakan tempat dan tempatan sebagai menyokong usaha TMM2020.

Antara pameran oleh kartunis tempatan yang diadakan di Balai Seni Negara sebelum ini ialah Pameran Retrospektif 1964- 2003 oleh Datuk Lat pada tahun 2003, Pameran Kartun Tulen Malaysia (2012), Pameran Solo Imuda (2015) dan Pameran Lawak Kampus oleh Gempak Starz (2018).

Pagi tadi, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Mohamaddin Ketapi menafikan pameran lukisan bertemakan kartun animasi terkenal Jepun, Doraemon sebagai sebahagian bahan tarikan dan promosi pelancongan sempena kempen TMM 2020.

Kenyataan itu dikeluarkan selepas pelbagai pihak melahirkan reaksi kurang senang berhubung perkara berkenaan.

Berita Harian X