Rabu, 24 April 2019 | 4:01pm
MENTERI Pengangkutan, Anthony Loke. - Foto Iqmal Haqim Rosman.

Anthony Loke tak campur keputusan bina stesen ECRL di Nilai

PUTRAJAYA: Menteri Pengangkutan, Anthony Loke menegaskan beliau tidak campur tangan dalam sebarang keputusan berhubung hasratnya untuk mencadangkan pembinaan sebuah stesen bagi projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) di Nilai, Negeri Sembilan.

Beliau berkata, hasratnya dalam persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan semalam untuk mengesyorkan pembinaan itu adalah atas kapasiti sebagai seorang Ahli Parlimen serta Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan bukan seorang menteri.

“Dalam ucapan di sidang DUN, saya memberitahu akan cuba berbincang tetapi keputusan terakhir terletak kepada pihak Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) yang mengendalikan projek itu.

“Mengikut perancangan, kita bercadang untuk memaksimumkan pertumbuhan ekonomi kerana Nilai mempunyai stesen komuter. Ia adalah satu faktor yang kita lihat untuk mengintegrasikan dengan ECRL melalui landasan kereta api yang sedia ada,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Sebelum ini, media melaporkan Loke akan mencadangkan supaya sebuah stesen projek ECRL dibina di Nilai.

Beliau yang juga ADUN Chennah dilaporkan berkata, pembinaan stesen di Nilai diyakini mampu menyumbang kepada pembangunan Malaysia Vision Valley (MVV) yang dirancang di kawasan itu serta Seremban sehingga ke Port Dickson.

Katanya, perubahan jajaran projek ECRL yang akan turut membabitkan Jelebu, bakal membawa banyak manfaat kepada pembangunan ekonomi di Nilai.

Mengulas lanjut, katanya laluan ECRL ke arah selatan kini sudah hampir dimuktamadkan oleh China Communications Construction Sdn Bhd (CCC) dan MRL.

Katanya, beliau mahu melihat langkah untuk memaksimumkan laluan ke selatan bagi pertumbuhan ekonomi di sepanjang laluan berkenaan.

“MVV menjadi sebuah projek pembangunan penting bukan saja untuk Negeri Sembilan malah seluruh negara kerana ia adalah konsep baharu kepada negeri ini.

“Jadi, sekiranya kita mahu membangunkan MVV maka, perlu ada sistem dan jaringan pengangkutan yang baik,” katanya.

Berita Harian X