Rabu, 24 April 2019 | 4:31pm
PENGURUS AmBank Cawangan Jalan Raja Chulan, R Uma Devi (kiri), bersama Rosaiah di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. - Foto Aizuddin Saad

Wang RM50 juta dimasukkan dalam akaun Ihsan Perdana

KUALA LUMPUR: Syarikat Gandingan Mentari Sdn Bhd memasukkan wang berjumlah RM50 juta ke dalam akaun milik Ihsan Perdana Sdn Bhd pada 2014 dan 2015.

Gandingan Mentari adalah syarikat subsidiari SRC International Sdn Bhd manakala Ihsan Perdana adalah syarikat yang mengendalikan tanggungjawab sosial korporat bagi SRC.

Pegawai pemprosesan Affin Bank, Rosaiah Mohamed Rosli, 53, memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini, beliau menerima data melalui Single Credit Confirmation Advice untuk mengkreditkan akaun pelanggan Affin Bank iaitu Ihsan Perdana dengan jumlah RM40 juta dari akaun AmIslamic Bank milik Gandingan Mentari pada 24 Disember 2014.

Rosaiah berkata demikian ketika diminta membuat pengecaman ke atas Single Credit Confirmation Advice yang dirujuk oleh Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Suhaimi Ibrahim, pada perbicaraan hari kelapan, hari ini.

Single Credit Confirmation Advice adalah dokumen yang dijana oleh Sistem Pemindahan Dana dan Sekuriti Secara Elektronik Masa Nyata (RENTAS).

Menerusi kenyataan saksi yang dibacakan Rosaiah pada perbicaraan kes SRC International yang dihadapi Datuk Seri Najib Razak, turut mengesahkan wang itu dimasukkan ke dalam sistem pengkreditan di ruangan Teller oleh Elfidawati Ali Buzar pada 3.17 petang, hari sama.

“Semakan yang dibuat oleh Abdullah Hadi Hamidon dan diluluskan oleh Mohd Zulhaini Zuall Cobley. Proses pengesahan, semakan dan kelulusan untuk mengkredit jumlah wang ini dibuat pada hari sama, iaitu 24 Disember 2014.

“Affin Bank juga mengkreditkan RM5 juta dari akaun AmIslamic Bank milik Gandingan Mentari ke dalam akaun sama milik Ihsan Perdana pada 5 Februari 2015,” katanya.

Rosaiah juga mengesahkan pihak Affin Bank juga mengkreditkan RM5 juta daripada akaun sama milik Gandingan Mentari ke dalam akaun Affin Bank milik Ihsan Perdana pada 6 Februari 2015.

Najib, 66, didakwa atas tiga tuduhan pecah amanah, satu tuduhan salahguna kedudukan dan tiga tuduhan pengubahan wang haram membabitkan dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.

Berita Harian X