Rabu, 24 April 2019 | 6:10pm
P Waytha Moorthy. - Foto Ahmad Irham Mohd Noor
P Waytha Moorthy. - Foto Ahmad Irham Mohd Noor

Akaun palsu di media sosial cetus isu perkauman

PUTRAJAYA: Isu perkauman di media sosial semakin berleluasa namun ia dilakukan oleh individu yang menyalahgunakan medium itu dengan mencipta akaun palsu bagi mencetuskan perbalahan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Perpaduan Negara dan Kesejahteraan Sosial), Senator P Waytha Moorthy, berkata kerajaan Pakatan Harapan (PH) memandang serius isu perkauman yang dicetuskan oleh pihak tidak bertanggungjawab berkenaan.

Justeru, katanya, segala tohmahan yang dilemparkan individu berkenaan di media sosial terhadap kaum lain akan dikenakan tindakan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan disiasat oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Isu perkauman semakin berleluasa di media sosial namun ia dicetuskan oleh ‘individu tanpa wajah’. Dengan mengambil kesempatan terhadap kemajuan teknologi masa kini, mereka menjadikan medium berkenaan untuk menghamburkan kata-kata kurang menyenangkan terhadap kaum dan agama lain,” katanya.

Waytha Moorthy berkata demikian ketika ditemui pada sesi temu bual bersama beliau sempena setahun kerajaan PH, di sini, hari ini.

Beliau berkata, tindakan sesetengah ahli politik yang menjadikan isu perkauman sebagai modal politik mereka turut menjadi punca keretakan hubungan sesama kaum di negara ini.

“Di peringkat akar umbi sebenarnya masyarakat Malaysia bersatu padu... cuma masalah utamanya adalah isu yang dibangkitkan ahli politik sendiri untuk kepentingan politik mereka.

“Kebanyakan mereka bertahan kerana memainkan isu agama dan perkauman, namun Jabatan Perpaduan Negara sudah mempergiatkan lagi rancangan dan aktiviti di peringkat akar umbi bagi mempromosikan perpaduan di negara,” katanya.

Berita Harian X