Khamis, 25 April 2019 | 1:04pm
MENTERI Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad. - Foto BERNAMA
MENTERI Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad. - Foto BERNAMA

Sasar RM1.8 bilion hasil pelancongan kesihatan

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan menyasarkan perolehan sebanyak RM1.8 bilion daripada sektor pelancongan kesihatan sepanjang tahun ini dengan jangkaan pulangan ekonomi keseluruhan membabitkan RM6 bilion.

Menterinya, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, berkata pihaknya optimis jumlah pendapatan daripada sektor pelancongan kesihatan boleh meningkat sebanyak 25 peratus daripada RM1.5 bilion berjaya dicapai tahun ini melalui 1.2 juta pesakit yang datang ke negara ini untuk menerima rawatan perubatan sambil melancong.

“Sektor pelancongan kesihatan antara yang paling pesat berkembang di mana ia bermula dengan jumlah 643,000 pelancong kesihatan pada 2011 kepada kira-kira 1.2 juta pada 2018 dan ia berjaya menyumbang sebanyak RM3 hingga RM4 bilion melalui Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) tahun lalu.

“Industri ini berkembang dengan kadar pertumbuhan tahunan terkumpul (CAGR) sebanyak 17 peratus antara 2015 hingga 2018 dan kita sasarkan pulangan pendapatan hasil daripada sektor pelancongan kesihatan ini sebanyak RM1.8 bilion sepanjang tahun ini.

“Daripada jumlah pulangan pendapatan RM1.8 bilion ini, kita menjangkakan ia mampu memberi pulangan ekonomi sebanyak RM6 bilion melalui kesan rantaian apabila pelancong kesihatan ini turut berbelanja melalui penginapan, aktiviti pelancongan, membeli belah dan pengangkutan,” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Terdahulu, beliau merasmikan Persidangan Pelancongan Kesihatan dan Penjagaan Kesihatan Asia Pasifik 2019 yang berlangsung selama dua hari bermula hari ini.

Pada masa sama, Dzulkefly berkata, antara negara yang menjadikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan kesihatan ialah Indonesia yang menyumbang sebanyak 60 peratus daripada jumlah keseluruhan pelancong sektor itu, selain China, India, Singapura dan United Kingdom.

Beliau berkata, pihaknya akan menjalankan inisiatif termasuk promosi melalui Tahun Pelancongan Kesihatan Malaysia 2020 selain melaksanakan amalan baik dalam perkhidmatan dan meningkatkan teknologi kaedah rawatan dalam usaha menarik lebih ramai kedatangan pelancong kesihatan ke negara ini.

Katanya, Malaysia menerima permintaan tinggi daripada pelancong kesihatan untuk rawatan kesuburan dan kardiologi khususnya daripada Indonesia, China, India, Vietnam dan Myanmar.

“Malah Malaysia juga menjadi hab kesuburan Asia di mana lima daripada 23 kemudahan pusat itu berada di negara ini selain hab kardiologi, ” katanya.

Selain itu, beliau berkata pihaknya akan sentiasa meningkatkan teknologi rawatan di hospital milik kerajaan bagi memastikan ia setanding dengan yang disediakan di hospital swasta di negara ini termasuk melalui kerjasama antara dua entiti terbabit.

Beliau berkata, pihaknya turut menubuhkan Majlis Penasihat Kesihatan yang menampilkan tujuh pakar dan tokoh perubatan negara untuk mengurangkan jurang antara hospital kerajaan dan swasta.

“Saya tidak rasa begitu (jurang terlalu besar teknologi rawatan) malah kita sekarang sedang mengejar untuk mengurangkan jurangnya dalam tempoh beberapa tahun ini dan kita akui berdepan masalah itu (mengurangkan jurang).

“Ini kerana sebagai negara berpendapatan menengah atas, kita kurang membelanjakan (underspending) dalam aspek ini untuk tempoh sedekad sebelum ini apabila hospital awam menyumbang kepada 2.3 peratus untuk KDNK, manakala swasta pula 2.2 peratus.

“Namun kita mahu sektor swasta terus berkembang supaya kesannya turut boleh dinikmati oleh hospital kerajaan dan dalam masa sama kita akan terus meningkatkan teknologi rawatan di hospital kerajaan,” katanya.

Berita Harian X