Khamis, 25 April 2019 | 4:15pm
Saksi, Pegawai Turus Bahagian Perlindungan Keselamatan (E6) Cawangan Khas Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perlis, Asisten Superintendan Wan Ahmad Hamirudeen Wan Ahmad (kanan) pada sesi pendengaran awam Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) di Dewan Gemilang, Kementerian Dalam Negeri (KDN). - NSTP/Ahmad Irham Mohd Noor

Nombor akaun bank rakyat Malaysia ditemui dalam buku nota - RCI Wang Kelian

PUTRAJAYA: Analisa awal nombor akaun bank pada buku nota yang dijumpai di kem sementara pendatang asing tanpa izin (PATI), Bukit Wang Burma, Perlis, pada 23 Januari 2015 mendapati ia adalah milik seorang rakyat Malaysia.

Pegawai Turus Bahagian Perlindungan Keselamatan (E6) Cawangan Khas Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perlis, Asisten Superintendan Wan Ahmad Hamirudeen Wan Ahmad, berkata pihaknya juga menganalisis butiran nama dan nombor telefon dalam buku berkenaan.

Bagaimanapun, panel Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) meminta wartawan dan orang ramai yang berada di galeri awam diminta beredar sebaik Wan Ahmad Hamirudeen yang juga saksi ke-19 ingin mendedahkan nama pemilik akaun berkenaan kerana ia maklumat sulit.

Terdahulu, Wan Ahmad Hamirudeen pada prosiding pendengaran awam itu berkata, pada 23 Januari 2015, beliau bersama Jabatan Siasatan Jenayah serta Pasukan Gerakan Am (PGA) pergi meninjau kawasan sempadan negara iaitu Bukit Wang Burma bagi menjejaki kem penempatan yang lain.

Ketika itu beliau sebagai penyelaras operasi pasukan Cawangan Khas mengenai isu penemuan kem penempatan sementara dan kubur di Wang Kelian berkata pihaknya menemukan lima kem penempatan PATI di Bukit Wang Burma.

“Sepanjang pendakian kami menemui lima kem, ada kem baharu dan lama serta terdapat kem yang mempunyai kesan khemah dibakar serta kesan ditinggalkan.

“Selain itu, kawasan itu juga kelihatan berselerak dengan beberapa dokumen berbentuk buku dan helaian kertas selain sejumlah kubur berdasarkan penemuan tandu untuk mengangkat mayat.

“Selepas melihat keadaan itu, saya melaporkan kepada Bukit Aman dan seterusnya menerima arahan untuk melanjutkan siasatan dan mencari bahan yang boleh dijadikan bukti,” katanya.

Wan Ahmad Hamirudeen berkata analisa lanjut terhadap dokumen berbentuk helaian kertas dan buku itu menjumpai beberapa nama, nombor telefon dan nombor akaun bank Malaysia dan luar negara.

“Kita turut menjumpai nombor akaun yang siasatan lanjut mendapati ia milik rakyat tempatan (Malaysia),” katanya.

RCI yang diadakan bagi menyiasat penemuan kem penempatan sementara dan kubur di Wang Kelian, Perlis, itu dianggotai tujuh ahli yang diketuai bekas Ketua Hakim Negara, Tun Arifin Zakaria.

Sesi pendengaran yang masuk hari keenam hari ini bersambung 7 Mei nanti.

Berita Harian X