X
Khamis, 25 April 2019 | 6:05pm
DZULKEFLY Ahmad
DZULKEFLY Ahmad

Penguatkuasaan larangan merokok di tempat makan dilanjut hingga Disember

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan melanjutkan tempoh aktiviti penguatkuasaan pendidikan di tempat makan yang diwartakan sebagai kawasan larangan merokok selama enam bulan lagi hingga Disember ini.

Tempoh enam bulan bagi penguatkuasaan pendidikan larangan merokok di kedai makan dan restoran sebelum ini ditetapkan berakhir Julai ini selepas pewartaan tempat makan sebagai kawasan larangan merokok bermula pada 1 Januari lalu.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, berkata pelanjutan dibuat bagi membolehkan kerajaan meningkatkan usaha membantu orang ramai berhenti merokok kerana memahami kesukaran mereka berbuat demikian.

Beliau berkata, ia juga bertujuan memberi pengetahuan dan kesedaran mengenai bahaya kesan merokok serta kawasan yang terbabit dengan larangan.

“Mesyuarat Jawatankuasa Pemandu yang terdiri daripada 10 kementerian lain dan satu wakil daripada badan bukan kerajaan yang dipengerusikan saya pada 16 April lalu, bersetuju dengan cadangan pelanjutan tempoh aktiviti penguatkuasaan pendidikan.

“Jawatankuasa ini juga memutuskan peruntukan tambahan dipohon kepada Jemaah Menteri supaya kumpulan perokok ini dibantu untuk berhenti merokok melalui perkhidmatan berhenti merokok mQuit,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dzulkefly berkata, kementeriannya juga berpendapat impak kepada penguatkuasaan pendidikan dijalankan sebelum ini memberikan kesan sangat positif, mendorong pelanjutan tempoh penguatkuasaan terbabit.

Namun begitu, katanya sepanjang tempoh penguatkuasaan itu, kementerian maklum terdapat perokok masih merokok di tempat makan yang diwartakan sebagai kawasan larangan.

Selain itu, tinjauan Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia susulan usaha penguatkuasaan itu mendapati sebahagian besar masyarakat sudah tidak lagi merokok di kawasan larangan.

Beliau berkata, kajian dijalankan bermula 1 April hingga 17 April lalu itu membabitkan 173 tempat makan di sekitar Kuala Lumpur dan Putrajaya.

“Secara purata 170 (98 peratus) tempat makan tidak menyediakan tempat abu rokok di dalam kawasan yang diwartakan dan 131 (76 peratus) tempat makan ini mempunyai tanda larangan yang jelas.

“Sebanyak 104 (60 peratus) tempat makan adalah 100 peratus bebas daripada sebarang aktiviti merokok, manakala 69 (40 peratus) tempat makan lagi hanya mempunyai tidak lebih daripada tiga orang merokok,” katanya.

Beliau berkata, impak positif juga dapat dilihat berkaitan bilangan perokok berdaftar untuk berhenti merokok di laman web jomquit.moh.gov.my yang mana jumlah puratanya meningkat kepada 580 orang bermula Januari hingga April lalu, berbanding 428 orang bagi beberapa tahun sebelumnya.

Berita Harian X