Jumaat, 26 April 2019 | 8:41am
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mujahid Yusof Rawa. - Foto Rosela Ismail

Gagasan Rahmatan Lil Alamin bakal jadi dasar baharu kerajaan - Mujahid

KOTA BHARU: Gagasan Rahmatan Lil Alamin bakal menjadi antara dasar baharu kerajaan dalam membentuk masa depan Malaysia, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof.

Beliau berkata, cadangan gagasan berteraskan Rahmatan Lil Alamin, Maqasid Syariah serta Model Malaysia sudah pada peringkat proses akhir, dan dijangka menjadi antara agenda untuk diluluskan dalam mesyuarat Kabinet, bulan depan.

“Sebelum ini, kertas cadangan gagasan berkenaan sudah mendapat kelulusan melalui Mesyuarat Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (MKI) pada 14 Mac lalu yang dipengerusikan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Sebaik sahaja kertas cadangan ini diluluskan dalam mesyuarat Kabinet nanti, ia akan menjadi gagasan masa depan bagi membentuk Malaysia baharu yang perlu disokong semua pihak berikutan ia sudah menjadi dasar kerajaan.

“Walaupun cadangan belum ke peringkat Kabinet, saya sudah menjelajah lima kementerian untuk menjelaskan mengenai gagasan ini dalam bentuk diskusi bersama menteri.

“Insya-Allah, saya juga akan ke Kementerian Komunikasi dan Multimedia untuk memberikan penerangan,” katanya pada Program Jelajah Kampus ‘Rahmatan Lil Alamin’ yang dihadiri kira-kira 900 mahasiswa di Universiti Malaysia Kelantan (UMK), di sini, malam tadi.

Justeru, Mujahid meminta semua pihak mendoakan supaya cadangan itu diterima secara rasmi bagi membantu Malaysia baharu mencapai cita-cita.

“Saya berharap semua kementerian dapat membawa aspirasi ini melalui aktiviti mereka dalam mencapai sasaran negara rahmat,” katanya.

Mengulas lanjut mengenai Program Jelajah Kampus ‘Rahmatan Lil Alamin’ pula, Mujahid berkata, sebuah platform akan diwujud untuk membolehkan mahasiswa universiti awam (UA) terbabit memberi pandangan mengenai pentadbiran Islam.

“Platform ini akan dibentuk mewakili kampus masing-masing dan mungkin sekali atau dua kali sebulan, kita akan berhimpun menerusi sesi perbincangan supaya dapat maklum balas bernas,” katanya.

Berita Harian X