Jumaat, 26 April 2019 | 11:33am
Ketua Polis Negara, Tan Sri Fuzi Harun (tengah) diiringi pegawai dan kakitangan melawat Hospital Selayang sempena Hari Polis Ke-212. - Foto Rosdan Wahid
Ketua Polis Negara, Tan Sri Fuzi Harun (tengah) diiringi pegawai dan kakitangan melawat Hospital Selayang sempena Hari Polis Ke-212. - Foto Rosdan Wahid

PDRM tingkat kawalan pada PRK Parlimen Sandakan

GOMBAK: Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan mempertingkatkan kawalan dan menambah bilangan anggota bagi memastikan kelancaran perjalanan Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Sandakan, 11 Mei depan.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun, berkata situasi keselamatan di bahagian timur Sabah yang ‘perlu diberi perhatian’, menjadi antara pertimbangan PDRM meningkatkan kawalan pada PRK itu.

“Saya sudah memberi arahan khusus kepada Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Omar Mammah, dan Ketua Polis Daerah Sandakan, Asisten Komisioner Mohd Azhar Hamin, berhubung perkara ini.

“Buat masa ini, lebih 1,000 anggota serta pegawai akan ditugaskan pada PRK itu dan jumlah berkenaan akan ditingkatkan jika ada keperluan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas program Lawatan Hospital Sempena Peringatan Hari Polis Ke-212 di Hospital Selayang, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Pemangku Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador; Pemangku Pengerusi Persatuan Keluarga Polis (PERKEP), Datin Seri Norazrin Marzuki; Timbalan Pengarah Kesihatan Selangor, Dr Noormi Othman; dan Timbalan Pengarah (Perubatan 1) Hospital Selayang, Dr Tengku Intan Norleen Tengku Shariff.

Mengulas lanjut, Mohamad Fuzi berkata, isu keselamatan dan pergolakan berlaku di selatan Filipina menjadi antara faktor PDRM mempertingkatkan tahap kawalan pada PRK Parlimen Sandakan.

Ditanya sama ada PDRM akan menghantar pasukannya dari Semenanjung ke Sabah bagi membantu proses itu, beliau berkata, tiada keperluan setakat ini dan ia akan membabitkan kos yang tinggi.

Menurut laporan media sebelum ini, Mohamad Fuzi mendedahkan bahawa kumpulan Daesh kini menjadikan Tawau dan Sandakan, Sabah, sebagai transit untuk masuk ke selatan Filipina.

Beliau dilaporkan sebagai berkata, Daesh menjadikan kedua-dua kawasan itu lokasi baharu mereka di Asia Tenggara selepas kedudukan kumpulan berkenaan tergugat dalam serangan tentera bersekutu di Iraq dan Syria.

Berita Harian X