Jumaat, 26 April 2019 | 1:01pm
Ketua Polis Negara, Tan Sri Fuzi Harun (tengah) diiringi pegawai dan kakitangan melawat Hospital Selayang sempena Hari Polis Ke-212. - Foto Rosdan Wahid
Ketua Polis Negara, Tan Sri Fuzi Harun (tengah) diiringi pegawai dan kakitangan melawat Hospital Selayang sempena Hari Polis Ke-212. - Foto Rosdan Wahid

PDRM mohon laporan lengkap SPRM

GOMBAK: Polis akan memohon laporan lengkap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung penahanan tujuh anggotanya yang bertugas di sebuah daerah di Pahang kerana disyaki terbabit rasuah, Selasa lalu.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun, berkata siasatan peringkat dalaman oleh Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) sudah bermula walaupun laporan daripada SPRM belum diterima.

“PDRM akan memberikan kerjasama penuh kepada SPRM untuk siasatan salah laku yang didakwa berlaku itu.

“Pada masa sama, kita turut menjalankan siasatan dan memberi peluang kepada anggota terbabit membuat penjelasan terlebih dahulu sebelum sebarang tindakan susulan diambil ke atas mereka.

“Sementara itu, kita akan menunggu laporan penuh SPRM berhubung siasatan mereka,” katanya pada sidang media selepas Program Lawatan Hospital Sempena Peringatan Hari Polis Ke-212 di Hospital Selayang, di sini, hari ini.

Media sebelum ini melaporkan Pengarah Siasatan SPRM, Datuk Seri Simi Abd Ghani, sebagai berkata seorang pegawai polis berpangkat Inspektor bersama enam anggota polis berpangkat Lans Koperal dan Koperal daripada Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pekan, ditahan kerana disyaki terbabit rasuah.

Kesemua mereka berumur 28 hingga 53 tahun itu ditahan di Pejabat SPRM Pahang selepas dipanggil memberi keterangan kerana disyaki bersubahat menerima suapan RM6,500.

Sementara itu ditanya mengenai pembubaran tiga pasukan khas Bukit Aman, iaitu Pasukan Khas Taktikal Perisikan Narkotik (STING), Pasukan Tindakan Khas Anti Maksiat, Judi, dan Gangsterisme (STAGG) serta Pasukan Petugas Khas Jenayah Terancang (STAFOC) pula, Mohamad Fuzi berkata, pegawai dan anggota terbabit sedang distrukturkan semula secara berperingkat.

“Setakat ini, kira-kira 60 peratus pegawai dan anggota sudahpun dipindahkan ke jawatan dan jabatan lain.

“Proses pembubaran masih belum selesai sepenuhnya, namun kita sedang berusaha menyelesaikan perkara terbabit secepat mungkin.

“Kita tidak boleh melakukan pembubaran secara sembarangan kerana kita memerlukan waran untuk melakukan penstrukturan semula,” katanya.

Media pada Jun tahun lalu melaporkan Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata kerajaan akan membubarkan beberapa pasukan siasatan khas PDRM sebagai sebahagian daripada penstrukturan semula pasukan keselamatan itu.

STAFOC dan STING mula beroperasi pada awal 2014, manakala STAGG pada akhir tahun sama.

Berita Harian X