Jumaat, 26 April 2019 | 2:45pm
MASZLEE Malik menyampaikan ucapan pada Majlis Soft Launch Tiga Inisiatif Baharu Kolej Komuniti 2019 di Kementerian Pendidikan. - Foto BERNAMA
MASZLEE Malik menyampaikan ucapan pada Majlis Soft Launch Tiga Inisiatif Baharu Kolej Komuniti 2019 di Kementerian Pendidikan. - Foto BERNAMA

Kementerian Pendidikan, Kewangan teliti peruntukan tambahan Program Matrikulasi

PUTRAJAYA: Kementerian Pendidikan akan bermesyuarat dengan Kementerian Kewangan, akhir bulan ini, bagi meneliti jumlah peruntukan tambahan diperlukan bagi peningkatan 15,000 tempat dalam pengambilan Program Matrikulasi.

Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik, berkata keputusan Jemaah Menteri mengenai pertambahan tempat itu, baru-baru ini, sedang diperhalusi pada peringkat Jawatankuasa Teknikal kementerian bagi meneliti secara menyeluruh aspek pelaksanaannya kelak.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan, hari ini, bagi menjawab soalan sama ada pelajar yang tidak berjaya memasuki Program Matrikulasi, boleh memohon kemasukan program Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) bawah Kementerian Pendidikan.

Mengulas lanjut, Maszlee berkata, kementerian sentiasa menggalakkan mana-mana individu untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang TVET.

Beliau berkata, ia sebagai antara langkah memperkasakan bidang itu dan selaras dengan usaha menjadikan TVET aliran pendidikan arus perdana di negara ini.

“Ingin saya jelaskan di sini bahawa kedua-dua program berkenaan adalah dalam konteks dan fungsi berbeza.

“Semua laluan pendidikan disediakan Kementerian Pendidikan adalah bermatlamat memberikan nilai tambah dan peluang lebih baik untuk anak-anak kita menimba ilmu,” katanya.

Maszlee berkata, penjelasan itu dibuat bagi mengelakkan sebarang kekeliruan dan memastikan rakyat dapat memahami dengan jelas tindakan yang sedang diambil kementerian.

Rabu lalu, Maszlee mengumumkan Kabinet bersetuju supaya jumlah pengambilan pelajar bagi Program Matrikulasi bawah Kementerian Pendidikan ditingkatkan kepada 40,000 tempat, tahun ini, berbanding 25,000 pada tahun lalu.

Katanya, pada masa sama, Kabinet sebulat suara mengekalkan kuota kemasukan dengan 90 peratus untuk pelajar Bumiputera, manakala 10 peratus lagi bagi bukan Bumiputera.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X