Sabtu, 27 April 2019 | 3:27pm
PEGUAM Negara, Tommy Thomas (tiga dari kanan) hadir pada Forum Awam Malaysia dan Statut Rom di Auditorium Tun Mohamed Suffian Fakulti Undang-Undang Universiti Malaya (UM) di Kuala Lumpur, hari ini. - Foto Rosela Ismail

Tommy kecewa tiada peluang bahas isu Statut Rom

KUALA LUMPUR: Peguam Negara, Tommy Thomas kecewa kerana tidak berpeluang berbahas dengan empat ahli akademik yang dilaporkan memberikan pandangan mereka dalam perjumpaan dengan Majlis Raja-Raja berhubung isu Statut Rom.

Tommy berkata, beliau tidak tahu bila empat ahli akademik terbabit iaitu Prof Datuk Dr Rahmat Mohamad; Prof Madya Dr Shamrahayu Ab Aziz; Dr Fareed Mohd Hassan dan Hisham Hanapi menghadap Majlis Raja-Raja bagi memberikan penerangan berhubung isu berkenaan.

Katanya, beliau diberi peluang menghadap Majlis Raja-Raja di Istana Negara selama satu jam untuk menerangkannya dari sudut undang-undang manakala Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah pula kira-kira 20 minit.

“Kami tidak pasti bila empat ahli akademik itu masuk (menghadap Majlis Raja-Raja), sama ada sebelum saya atau selepas.

“Kalau kami berlima berada dalam (pertemuan) itu, mungkin saya boleh membahaskan pandangan mereka dan kumpulan itu juga boleh membahaskan pandangan saya, saya kecewa kerana tiada peluang itu,” katanya menjawab soalan pada Forum Awam Malaysia dan Statut Rom di Auditorium Tun Mohamed Suffian Fakulti Undang-Undang Universiti Malaya (UM) di sini, hari ini.

Forum itu turut menampilkan pakar undang-undang perlembagaan, Prof Emeritus Datuk Dr Shad Saleem Faruqi; jurucakap kumpulan bekas penjawat awam G25, Datuk Noor Farida Ariffin; aktivis, Dr Syed Hussin Ali; peguam, Lim Wei Jiet dan aktivis pelajar yang menganjurkan forum Statut Rom, Asheeq Ali.

Pihak penganjur turut menjemput Rahmat, Shamrahayu, Fareed dan Hisham untuk menjadi ahli panel pada forum itu namun kesemua tidak hadir.

Tommy ditanya mengenai kegagalannya meyakinkan Majlis Raja-Raja sehingga menyebabkan kerajaan menarik diri daripada Statut Rom Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC).

Pada 5 April lalu, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, mengumumkan Kabinet putuskan Malaysia menarik diri daripada Statut Rom ICC kerana kekeliruan timbul dalam masyarakat serta disebabkan cubaan pihak tertentu mengheret institusi Raja menentang kerajaan.

Mengulas lanjut, Tommy berkata, cadangan meratifikasi Statut Rom sebenarnya dipersetujui kerajaan terdahulu yang ditadbir Barisan Nasional (BN) yang membuat keputusan mengenainya pada Mac 2011.

“Kerajaan Pakatan Harapan (PH) memutuskan untuk meneruskan dasar kerajaan terdahulu, namun ada kritikan (kini) daripada pihak sama yang mengubah fikirannya kini,” katanya.

Beliau berkata, Malaysia tidak akan menerima kesan sekiranya bersetuju meratifikasi statut berkenaan seperti didakwa pelbagai pihak termasuk dakwaan Yang di-Pertuan Agong berdepan tindakan undang-undang di peringkat antarabangsa.

Katanya, sebaliknya pihak berdepan tindakan sekiranya kerajaan terbabit dalam empat jenayah paling serius seperti termaktub dalam Statut Rom adalah Perdana Menteri, Kabinet dan pegawai kerajaan mengarahkan sesebuah agensi melaksanakannya.

Empat jenayah itu adalah pembunuhan beramai-ramai, jenayah perang serta jenayah kemanusiaan dan pencerobohan.

“Contohnya jika Malaysia terbabit dalam jenayah perang pihak bakal dikenakan tindakan undang-undang adalah Perdana Menteri, Kabinet, Menteri Pertahanan dan Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

“Yang di-Pertuan Agong harus mendengar nasihat Perdana Menteri, walaupun baginda adalah ketua tentera namun yang mengarahkan (melancarkan serangan) adalah Perdana Menteri, Kabinet, Menteri Pertahanan dan Panglima (ATM).

“Ia sama seperti dengan pendakwaan dihadapi (bekas Perdana Menteri Britain) Tony Blair kerana melakukan jenayah perang bukannya Ratu Elizabeth (didakwa),” katanya.

Berita Harian X