Sabtu, 27 April 2019 | 7:13pm
LIM Guan Eng

Dana pinjaman mudah RM550 juta untuk pekebun kecil sawit persendirian

PUTRAJAYA: Kerajaan hari ini mengumumkan dana pinjaman mudah sebanyak RM500 juta dengan kadar faedah rendah dua peratus setahun bagi penanaman semula sawit oleh pekebun kecil persendirian.

Bagi membiayai kos input dan bahan penanaman sawit dengan penggunaan benih yang disahkan serta baka berkualiti dan terkini pula, sebanyak RM50 juta disediakan untuk pinjaman mudah pada kadar faedah yang sama.

Mengumumkan bantuan baharu itu yang akan diselaraskan Kementerian Industri Utama, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, berkata ia adalah langkah penambahbaikan bantuan kepada pengusaha sawit, terutama pekebun kecil persendirian.

Beliau berkata, ia juga bagi memastikan pertumbuhan permintaan minyak sawit Malaysia bukan hanya dinikmati syarikat besar.

“Pinjaman mudah ini diharap dapat membantu meringankan beban kewangan pekebun kecil dalam melaksanakan penanaman semula sawit. Usaha ini bersama penanaman semula, bakal meningkatkan produktiviti dan seterusnya pendapatan pekebun kecil," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Selain pinjaman mudah, katanya, kerajaan akan memberi lebih bantuan kepada pengusaha sawit dalam bentuk pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) sebanyak RM100 juta, tambahan kepada peruntukan RM30 yang diumumkan dalam Belanjawan 2019.

Beliau berkata, ia bertujuan menggalakkan lebih ramai penanam sawit memperoleh pensijilan MSPO dan mencapai 100 peratus pensijilan menjelang 31 Disember ini.

“Di bawah dasar ini, kerajaan akan menanggung 100 peratus kos pensijilan MSPO daripada 70 peratus sedia ada bagi pengusaha sawit yang mempunyai saiz penanaman sederhana, iaitu 40 hingga 1,000 hektar.

“Kerajaan juga akan menambah bantuan untuk kos pengauditan daripada 30 peratus kepada 50 peratus. Insentif ini akan dibayar selepas pengusaha berjaya mendapat pensijilan,” katanya.

Guan Eng berkata, bantuan untuk pekebun sawit diperkenalkan atas keprihatinan kerajaan terhadap keadaan semasa yang dihadapi pengusaha sawit berikutan harga minyak sawit yang rendah.

“Penyediaan pinjaman mudah dan bantuan terutama kepada pekebun kecil untuk penanaman semula adalah selaras komitmen kerajaan Pakatan Harapan (PH) untuk menjamin kebajikan pengusaha sawit. Pada masa sama, mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai pengeluar sawit mampan utama dunia,” katanya.

Berita Harian X