Sabtu, 27 April 2019 | 7:16pm
ALIASAK Ambia

Pertimbang ubah pinjaman tanaman semula sawit kepada bantuan

KUALA LUMPUR: Persatuan Kebangsaan Pekebun-Pekebun Kecil Malaysia (PKPKM) meminta kerajaan mengubah status dana RM500 juta yang diumumkan hari ini untuk penanaman semula sawit oleh pekebun kecil persendirian daripada bentuk pinjaman mudah kepada bantuan.

Presidennya, Datuk Aliasak Ambia, berkata peruntukan kepada pekebun kecil itu sepatutnya diberikan dalam bentuk bantuan, bukannya pinjaman yang dibimbangi memberi kesan kepada usaha memampankan sektor sawit, sekali gus menjejaskan sumbangannya kepada pendapatan negara.

Katanya, kerajaan harus sedar sawit memberikan pulangan purata RM60 hingga RM70 bilion setiap tahun kepada negara, namun perolehan itu dikhuatiri berkurangan kerana dikhuatiri tidak ramai mahu melakukan penanaman semula berikutan perlu membayar balik pinjaman.

“Sebelum ini peruntukan seperti itu tidak pernah diberi secara pinjaman sebaliknya bantuan. Justeru, PKPKM yang mewakili 650,000 pekebun kecil sawit di seluruh negara, berharap kerajaan mempertimbangkan semula keputusannya demi kebaikan semua.

“Sepatutnya dana itu diberikan dalam bentuan bantuan, baru ramai pekebun kecil mahu menanam semula sawit dan membantu meningkatkan produktiviti sawit negara," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Aliasak berkata, dana yang disalurkan dalam bentuk pinjaman juga dikhuatiri menyebabkan pekebun kecil berdepan kesukaran melakukan penanaman semula kerana sudah tentu proses untuk mendapatkan bantuan kewangan itu perlu melalui pelbagai prosedur.

Beliau bagaimanapun tetap berterima kasih kepada kerajaan kerana meningkatkan jumlah bantuan kepada pengusaha sawit dalam bentuk pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) sebanyak RM100 juta.

“Ia dapat mengalakkan lebih ramai penanam sawit memperoleh pensijilan MSPO seperti dihasratkan oleh kerajaan," katanya.

Berita Harian X