Sabtu, 27 April 2019 | 9:22pm
TUN Dr Mahathir Mohamad dan Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali semasa melawat ke gerai pameran pada Program Festival Durian Malaysia hari ini. - Foto BERNAMA

Durian Malaysia dipromosi di China

BEIJING: Durian antara produk Malaysia yang turut dipamerkan bagi mempromosikan ‘raja buah’ itu di China sempena Forum Belt and Road (BRF) Bagi Kerjasama Antarabangsa di sini.

Festival Durian Malaysia selama dua hari itu dianjurkan oleh PLS Plantation Berhad (PLS Plantation), sebuah syarikat senaraian awam di Hotel China World.

Terdapat beberapa dulang produk makanan yang dihasilkan daripada buah durian antaranya kek, tart dan burger.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan isteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali menghadiri festival berkenaan bagi melihat produk yang dipamerkan.

Dr Mahathir turut menyaksikan pertukaran dokumen antara syarikat Malaysia dan China untuk meningkatkan lagi hubungan perniagaan dalam dagangan durian.

PLS Plantation menandatangani perjanjian bersama Shanghai Greenland Group, ZTE Corporation dan PTSKY dari China serta FGV Holdings Berhad (FGV) dari Malaysia.

Pada Mac lalu, PLS Plantation menandatangani perjanjian perkongsian strategik dengan Greenland bagi membentuk Greenland-PLS Joint Venture untuk mengimport, menjual dan memasarkan produk durian.

Sejak itu, Greenland-PLS Joint Venture berjaya mengimport produk sejuk beku dari pelbagai spesies durian Malaysia, antaranya D197 Musang King dan D24 Sultan King.

PLS Plantation dalam kenyataan berkata, pihaknya yakin bahawa durian dari Malaysia akan mendapat permintaan menggalakkan sekali gus diedarkan ke serata bandar di China.

“Menerusi kerjasama dengan FGV Holdings Berhad, Shanghai Greenlad Group dan ZTE Corporation serta Shanghai PTSKY, kami percaya sektor pertanian di Malaysia akan dapat dipertingkatkan ke satu tahap baharu sekali gus menyumbang kepada keseluruhan ekonomi negara,” katanya.

Berdasarkan data perdagangan yang dikeluarkan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), eksport durian ke China meningkat secara purata sebanyak 35 peratus setiap setahun, dan dengan anggaran nilai RM4.5 bilion (USD1.1 bilion) pada tahun 2017 iaitu RM1 bilion (USD243 juta) lebih tinggi berbanding sedekad lalu.

Berita Harian X