Ahad, 28 April 2019 | 4:11pm
TIMBALAN Menteri Kesihatan, Dr Lee Boon Chye. - Foto Muhaizan Yahya
TIMBALAN Menteri Kesihatan, Dr Lee Boon Chye. - Foto Muhaizan Yahya

Larangan merokok: Tumpu kawasan luar dan pinggir bandar

IPOH: Tempoh lanjutan pendidikan larangan merokok selama enam bulan lagi akan menumpukan kepada kawasan luar dan pinggir bandar.

Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Lee Boon Chye, berkata ia bagi membolehkan masyarakat di kawasan luar bandar diberikan pendidikan mengenai perintah larangan merokok di kawasan tempat makan tidak berhawa dingin.

Beliau berkata sejak peraturan itu dikuatkuasakan, sambutan larangan merokok di kawasan luar bandar masih rendah.

“Sejak kementerian umumkan perluasan kawasan larangan merorok, sambutan yang diterima dari rakyat dan pengusaha restoran sangat bagus dan menggalakkan, walaupun ada sedikit kekurangan (penerimaan) khususnya kawasan kampung dan luar bandar.

“Sebab itu kita perlu pertingkatkan usaha penguatkuasaan pendidikan khususnya di kawasan luar bandar, yang paling penting adalah memastikan peraturan larangan merokok di kawasan tempat makan bukan berhawa dingin itu dipatuhi.

“Tujuan kerajaan melaksanakan (larangan merokok) bukanlah untuk mendenda dan menghukum sebaliknya adalah untuk mendidik supaya perokok dapat menggunakan peluang (tempoh masa) untuk berhenti merokok dan kalau boleh kurangkan merokok dan tidak merokok di kawasan orang ramai, di kawasan yang tidak dibenarkan dan di kawasan awam,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Kempen Derma Darah dan Hari Kesejahteraan Rakyat di Gelanggang Bola Keranjang Kampung Baru Gunung Rapat di sini hari ini.

Khamis lalu, Kementerian Kesihatan mengumumkan melanjutkan tempoh aktiviti penguatkuasaan pendidikan di tempat makan yang diwartakan sebagai kawasan larangan merokok selama enam bulan lagi hingga Disember ini.

Tempoh mendidik sebelum menguatkuasa larangan merokok di kedai makan dan restoran sebelum ini ditetapkan berakhir Julai ini selepas pewartaan tempat makan sebagai kawasan larangan merokok bermula pada 1 Januari lalu.

Beliau berkata, langkah itu adalah bagi memastikan perokok dapat mengubah sikap untuk tidak membahayakan orang lain menerusi aktiviti mereka.

Katanya, walaupun tempoh pendidikan dilanjutkan, ia tidak bermakna perokok boleh bebas merokok di kawasan yang masih belum dikuat kuasa sewenang-wenangnya.

“Meskipun tempoh pendidikan penguatkuasaan masih diteruskan, pegawai kementerian masih boleh mengambil tindakan menyaman terus perokok yang melakukan kesalahan jika mengabaikan amaran serta tidak mematuhi undang-undang ditetapkan.” katanya.

Berita Harian X